Ini bukan lukisan palsu, ia tulen – Azam

Ini bukan lukisan palsu, ia tulen – Azam


PUTRAJAYA: “Ini bukan lukisan palsu, ia tulen,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki selepas mendedahkan empat daripada 12 lukisan bernilai tinggi yang dikaitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hari ini.

Azam menegaskan, ketulenan kesemua lukisan itu dijamin kerana ia memiliki sijil pengesahan daripada pakar antarabangsa.

Katanya, empat lukisan itu yang dibawa pulang dari New York, Amerika Syarikat (AS) akan diserahkan kepada Balai Seni Negara seawal minggu depan untuk pemuliharaan serta pameran kepada orang awam.

“Lukisan berkenaan kini ditempatkan sementara di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, dalam keadaan terkawal sebelum dipindahkan ke galeri tersebut.

“Kita (SPRM) berdepan kekangan dari segi logistik dan pemeliharaan untuk mengendalikan (menjaga) karya seni itu dalam jangka masa panjang.

“Keadaan di sini agak rumit (tidak sesuai) kerana perlu menjaga suhu dan sebagainya, selain kekurangan kotak serta tenaga kerja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat SPRM di sini, hari ini.

Azam berkata, Balai Seni Negara akan menentukan bila lukisan tersebut akan dipertontonkan kepada umum.

“Apabila ia dipindahkan ke Balai Seni Negara, saya serahkan kepada Ketua Pengarah (Balai Seni Negara). Saya percaya ia akan dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi dan orang ramai boleh datang melihat semua lukisan ini,” katanya.

Katanya, karya seni tersebut wajar dijadikan peringatan mengenai skandal 1MDB dan kepentingan akauntabiliti dalam pentadbiran awam.

Bagaimanapun, Azam berkata, ia bergantung kepada kerajaan dan Kementerian Kewangan (MOF) sama ada mahu menyimpan atau melelong lukisan itu pada masa hadapan.

Katanya, proses pemulihan lukisan itu melibatkan kerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ), Jabatan Peguam Negara Malaysia serta rumah lelong antarabangsa.

Jelasnya, lukisan tersebut dibeli menggunakan dana yang dikaitkan dengan 1MDB melalui rumah lelong Sotheby’s.

“Karya seni ini tidak dirampas secara fizikal sebaliknya diserahkan melalui proses sah, termasuk pelaksanaan Surat Wakil Kuasa oleh USDOJ kepada SPRM,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top