am@hmetro.com.my
Batu Pahat: “Ini dugaan paling berat saya tempuhi, hilang orang tersayang dalam sekelip mata,” kata Roslah Othman, 70, selepas cucunya Afika Shaura Kamarul Ariffin, 4, maut dalam kemalangan di simpang Kampung Sungai Ayam, di sini, hari ini.
Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 11 pagi ketika mangsa bersama bapa serta dua kakaknya berusia tujuh dan lapan tahun dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli sayur di kedai berhampiran.
Empat beranak itu menaiki sebuah motosikal dikatakan melanggar lori muatan sawit yang keluar simpang secara tiba-tiba, menyebabkan Afika Shaura parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala bapanya berusia 30-an cedera di dahi, sementara dua kakak arwah pula tidak mengalami kecederaan serius.
Difahamkan, mangsa sekeluarga menetap di Muar pulang ke kampung neneknya di Sungai Ayam sempena cuti sekolah.
Menurutnya Roslah, dia menerima berita sedih itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri kursus haji di bandar ini.
“Ketika itu, saya baru pulang dari kursus haji. Semasa dalam perjalanan ada saudara telefon beritahu (Kamarul) Ariffin kemalangan dekat simpang teluk (simpang Sungai Ayam).
“Sampai ke lokasi saya lihat salah seorang cucu sudah tak ada. Saya tidak terkata-kata hanya menangis mengenang arwah.
“Arwah sangat petah bercakap dan bercerita, namun sejak akhir-akhir ini kakaknya beritahu arwah kerap bercakap berseorangan,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Kemalangan itu juga menyebabkan Roslah lemah longlai serta pengsan ketika mahu dibawa masuk dalam kereta sebelum dibantu ahli keluarganya.
Sementara itu, penduduk Rosdi Ithnin, 59, berkata dia bersama orang awam membantu empat beranak berkenaan termasuk cuba menggerakkan arwah, namun tiada tindak balas.
“Bila sampai saya nampak mangsa tersepit di depan motosikal, keadaannya sudah longlai, maknanya dia sudah tiada ada (meninggal dunia).
“Arwah bersama dua kakak dijaga neneknya ketika kecil, sebelum mereka berpindah ke Muar,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk enggan dikenali berkata, mereka sempat mendengar salah seorang mangsa memanggil ‘ayah’ beberapa kali.
“Saya terdengar dentuman kuat, bila keluar saya nampak ada budak terbaring. Saya nak bantu tapi takut darah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kemalangan terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd