Ini jawapan Hafiz untuk Hindutva Knight

Ini jawapan Hafiz untuk Hindutva Knight


Kuala Lumpur: “Wanita Islam tidak selamat ketika berada di Tanah Suci Makkah. Anda keluarkan kenyataan ini hanya dengan melihat satu babak daripada video saya. Ibaratnya melihat satu filem di babak klimaks tanpa mengetahui situasi itu berlaku. Jadi biar saya terangkan keadaan di Makkah.”

Ini kata pempengaruh dan usahawan popular, Hafiz Mahamad yang tampil menjawab segala fitnah sekali gus membidas dakwaan seorang pengguna media sosial yang mendakwa wanita tidak selamat berada di Tanah Suci.

Menerusi hantaran video terbaharu bekerjasama bersama Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis, Dr Kamilin Jamilin, Hafiz menjelaskan segala kekeliruan yang dibangkitkan mengenai agama Islam terhadap pengguna akaun aplikasi X dikenali nama Hindutva Knight (@HPhobiaWatch).

“Aktiviti tawaf (mengelilingi Kaabah) di Makkah tidak pernah berhenti, tapi umat Islam akan berhenti bertawaf apabila masuk solat fardu. Pada ketika itu, lelaki akan berada di saf hadapan, manakala wanita di bahagian belakang yang sudah disediakan tempat khas buat mereka.

“Bercakap mengenai video yang anda saksikan, itu adalah situasi orang bersesak-sesak mahu pergi ke satu sudut dan bukan menunjukkan semua aktiviti di Kaabah ini bersesak-sesak.

“Di Kaabah ada beberapa sudut yang menjadi perhatian seperti Hijr Ismail, Multazam, menghampiri Kaabah dan Hajarul Aswad. Dalam video yang anda saksikan itu memperlihatkan orang ramai ingin menghampiri Hajarul Aswad untuk menciumnya.

“Situasi bersesak yang anda saksikan itu bukan bermakna mereka bergaduh, sebaliknya mereka saling mengingatkan orang lain supaya beristighfar, bersabar dan memberitahu ada kanak-kanak serta kaum wanita berdekatan mereka,” katanya.

Menurut Hafiz, wanita Islam adalah kaum hawa yang cukup kuat dan berani sehingga sanggup mengenepikan rasa takut.

“Wanita Islam adalah wanita yang sangat berani. Lihat saja wanita di bumi Palestin bagaimana mereka hebat berjuang dan mengenepikan air mata dan rasa takut demi agama.

“Kadangkala keinginan besar mereka tidak boleh dihentikan walaupun mereka tahu kemampuan diri di tahap mana.” katanya.

Menariknya mengenai video berdurasi 15 minit yang dikongsikan dengan disertakan infografik berbentuk 3D serta simulasi ketika berada di hadapan Kaabah dan sari kata Bahasa Inggeris untuk kefahaman umum, Hafiz turut memberi peluang kepada Dr Kamilin untuk membuat beberapa pencerahan yang mungkin menjadi tanda tanya kepada individu bukan beragama Islam.

Antara penjelasan yang diberikan adalah pergaulan antara lelaki dan wanita mengikut ajaran Islam, situasi dan aktiviti di Kaabah serta langkah-langkah yang boleh dibuat untuk wanita yang tetap mahu mencium Hajarul Aswad.

Dalam perkongsian itu juga, Hafiz turut menekankan hantarannya di media sosial bukan cubaan untuk menegakkan benang yang basah atau membersihkan namanya, sebaliknya dia terpanggil kerana itu adalah tanggungjawabnya demi agama.

Hafiz berharap agar hantarannya di media sosial hari ini dapat ‘kekal’ di Internet dan dijadikan pengajaran serta pedoman buat semua umat Islam di luar sana.

Terdahulu, pengguna laman sosial X dengan nama Hindutva Knight (@HPhobiaWatch) berkongsi semula video yang pernah dimuat naik Hafiz sebelum ini sebagai bahan fitnah, mendakwa berlakunya gangguan berbentuk fizikal dan seksual terhadap golongan wanita ketika berada di Masjidil Haram, Makkah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top