Tindakan segelintir warganet yang membuat spekulasi mengundang rasa kurang senang penyanyi, Siti Nordiana apabila seorang wanita yang dikenalinya menjadi mangsa gosip, didakwa mempunyai hubungan istimewa dengan rakan baiknya, Nubhan.
Menerusi hantaran di platform Threads, Siti Nordiana atau nama lengkapnya, Siti Nordiana Alias, 42, berkongsi beberapa foto percutian mereka di Vietnam bersama rakan-rakan, termasuk wanita terbabit serta Nubhan.
Tidak berdiam diri, pelantun lagu Terus Mencintai itu tampil bersuara mempertahankan wanita terbabit, selain menegur sikap segelintir pihak yang gemar menabur cerita tidak berasas.
“Kesian kakakku seorang ini, pergi melancong tak pasal-pasal nama kena gosip.
“Awak semua ni tak baik gosipkan kakak saya ini. Ini kakak kami tau,” katanya.

Terdahulu, perkongsian foto percutian oleh Nubhan bersama wanita berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Ruangan komen turut dibanjiri pelbagai andaian apabila ramai mendakwa mereka sedang menjalinkan hubungan cinta.
Untuk rekod, Nubhan pernah mendirikan rumah tangga bersama Dr. Afifah Hidayah Tawfek pada 29 Ogos 2015. Namun, pasangan itu sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 2 Disember lalu.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille, 3.






