‘Ini kemenangan terbesar saya bersama United’

‘Ini kemenangan terbesar saya bersama United’


PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim, menganggap kemenangan 2-1 ke atas Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield pada Isnin sebagai kejayaan paling bermakna sejak memulakan tugas bersama kelab itu 11 bulan lalu.

Namun, bekas pengendali Sporting Lisbon itu menegaskan pasukannya tidak akan hanyut dengan euforia kemenangan berkenaan sebaliknya kekal berwaspada terhadap cabaran seterusnya.

“Saya tidak banyak meraih kemenangan bersama Manchester, jadi ini sangat penting. Saya rasa ini kemenangan terbesar sepanjang saya di Manchester United.

“Ia kemenangan berturut-turut, di Anfield pula setiap butiran perlawanan ini amat bererti,” katanya selepas perlawanan.

Kejayaan di Anfield bukan sahaja menamatkan penantian hampir sedekad untuk kemenangan di gelanggang keramat musuh tradisi itu.

Malah menjadi kemenangan pertama Amorim mencatat dua kemenangan berturut-turut bersama The Red Devils.

Bagaimanapun, pengendali berusia 40 tahun itu enggan mendabik dada dengan kejayaan tersebut dan mahu anak buahnya terus memperbaiki prestasi secara konsisten.

“Saya mahu kalian (media) terus kekal dengan naratif negatif itu, jangan ubah. Itu lebih baik untuk saya.

“Apa yang perlu kami lakukan ialah cuba menang tiga perlawanan berturut-turut, dan selepas itu baru fikir tentang kedudukan empat atau enam teratas. Kami sudah tahu sasaran untuk layak ke pentas Eropah. Tapi kemenangan ini tidak mengubah apa-apa.

“Kami masih pasukan yang sama seperti 90 minit lalu. Cuma cara orang melihat kami yang berbeza. Kami bernasib baik pada beberapa ketika, tapi semangat kami luar biasa. Itu yang perlu kami bawa ke perlawanan seterusnya,” ujarnya.

Dalam perlawanan berintensiti tinggi itu, Bryan Mbeumo membuka jaringan buat United sebelum Harry Maguire menanduk masuk gol kemenangan lewat permainan.

Cody Gakpo sempat menyamakan kedudukan untuk Liverpool, namun Amorim lebih gembira dengan reaksi pasukannya selepas dibolosi.

“Apabila kami dibolosi, pasukan menguruskan detik itu dengan baik dan itu kunci utama. Ia bukan persembahan terbaik dari segi permainan, tetapi semangat yang ditunjukkan amat luar biasa. Itu sahaja yang saya minta daripada mereka,” katanya.

Amorim turut melahirkan penghargaan kepada penyokong setia United yang hadir ke Anfield, sambil menyifatkan kemenangan itu hadiah buat mereka.

“Saya rasa kemenangan ini sangat penting untuk penyokong kami kerana mereka sudah lama menderita. Hari ini mereka melihat pasukan yang berbeza.

“Datang ke stadium ini menentang juara dan seteru utama, mendengar mereka menyanyi sepanjang perlawanan itu sesuatu yang luar biasa. Kemenangan ini untuk mereka,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • Ruben Amorim menganggap kemenangan 2-1 Manchester United ke atas Liverpool sebagai kemenangan paling bermakna sejak memulakan tugas bersama kelab itu
  • Pasukan tidak akan hanyut dengan euforia kemenangan dan kekal berwaspada terhadap cabaran seterusnya
  • Kemenangan di Anfield menamatkan penantian hampir sedekad untuk kemenangan di gelanggang tersebut dan merupakan kemenangan pertama Amorim mencatat dua kemenangan berturut-turut bersama The Red Devils
  • Amorim enggan mendabik dada dengan kejayaan tersebut dan mahu anak buahnya terus memperbaiki prestasi secara konsisten
  • Amorim berterima kasih kepada penyokong setia United dan menyifatkan kemenangan itu hadiah buat mereka



Source link

OR

Scroll to Top