SEREMBAN, 24 Ogos — Pemain Negeri Sembilan FC An Sangsu cuba menjaringkan gol ketika menentang Selangor FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman malam ini.
PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menyifatkan kekalahan 1-2 kepada Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad sebagai perlawanan paling mengecewakan sepanjang kariernya.
Menurut Kinoshi, pasukan kendaliannya gagal memanfaatkan peluang terhidang untuk menambah jaringan, sebelum dihukum dengan gol kemenangan oleh pasukan tuan rumah pada minit-minit akhir permainan.
“Ini perlawanan paling teruk dalam hidup saya. Paling teruk. Kami bermain dengan baik, tetapi dari segi keputusan, ini sangat mengecewakan.
“Kami tidak berjaya mendapatkan gol kedua, dan kemudian bolos pada saat akhir. Bagi saya, ini perlawanan paling teruk,” katanya selepas tamat perlawanan.
Bagaimanapun, jurulatih dari Jepun itu menegaskan bahawa beliau enggan menyalahkan mana-mana pemain, sebaliknya menerima tanggungjawab penuh atas kekalahan tersebut.
“Saya tak mahu burukkan keadaan. Saya hanya mahu kami terus maju dan fokus untuk perlawanan seterusnya. Saya tak salahkan pemain. Kami adalah satu pasukan.
Saya terima semua kritikan daripada penyokong dan sesiapa sahaja,” katanya.
Kinoshi turut mengingatkan para pemain agar mengambil pengajaran daripada kekalahan itu dan kekal fokus dalam usaha memperbaiki prestasi pada perlawanan akan datang.
“Saya beritahu pemain, fikir bagaimana untuk jadi lebih baik pada perlawanan akan datang. Jangan saling menyalahkan. Kalau ada yang mahu menyalahkan, salahkan saya sebagai jurulatih.
“Fokus pada perlawanan seterusnya,” ujarnya.
Dalam perlawanan itu, Selangor FC berada di hadapan menerusi jaringan Richmond Tetteh Ankrah pada minit ke-12 sebelum pemain gantian Negeri Sembilan FC, Mio Tsuneyasu meledak dua gol pada 10 minit akhir perlawanan untuk memadam hasrat Gergasi Merah meraih tiga mata berharga.






