PETALING JAYA: Pelakon, Datin Intan Najuwa mengakui dirinya tegas dalam mendidik anaknya, Imane Lunara.
Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, berkata, sebagai seorang ibu, sifat garang dan ketegasan itu penting untuk mengajar anaknya erti disiplin serta beradab sejak kecil.
“Mestilah pernah marah, setiap hari. Saya seorang ibu yang tegas dan garang. Bila saya cakap tidak, memang benar-benar tidak boleh. Sekarang pun saya dah mula ajar dia yang bukan semua benda dia mahu boleh dapat.
“Sejak peringkat bayi lagi saya dah mula. Kalau dia melawan pengasuh, saya akan terus masuk campur dan tegur dia masa itu juga,” katanya dalam Instagram Story (Igs).
Tambah Intan, tindakan menegur atau memarahi anak itu tidak bererti seorang ibu gagal menjadi yang terbaik sebaliknya perlu diterapkan agar dapat melahirkan insan yang elok budi pekertinya.
“Sejujurnya, kalau kita marahkan anak, itu tak bermakna kita adalah seorang ibu yang tidak baik. Itu memang sebahagian daripada tugas seorang ibu. Kita mendidik, membimbing, dan membetulkan mereka dengan cara sendiri.
“Saya juga cuba setiap hari untuk ajar Lunara berdikari bermula sekarang sebab satu hari nanti, kalau saya dan bapanya sudah tiada, saya nak dia tahu macam mana nak jaga diri sendiri, jadi kuat serta tak terlalu bergantung pada orang lain,” jelasnya.
Malah, pelakon itu turut menyifatkan ketegasan seseorang ibu bapa itu satu keperluan dalam mendidik anak-anak, selain berpendapat tindakan itu bukanlah satu kesalahan.
“Ini bukan soal nak jadi kasar atau garang, tetapi realiti kehidupan dan saya nak dia bersedia. Jadi, janganlah rasa bersalah kalau marahkan anak-anak.
“Kadang-kadang kita memang kena buat begitu, nanti anak jadi terlalu manja pun tak boleh juga.
“Semuanya adalah tentang keseimbangan antara kasih sayang dan disiplin, kedua-duanya sama penting,” ujarnya.
Aktres yang kini sarat hamil anak kedua itu berkongsi perkara tersebut menjawab pertanyaan pengikut Instagramnya sama ada pernah memarahi Lunara sehingga wujud rasa gagal menjadi seorang ibu.
Sebelum ini, Intan mendirikan rumah tangga dengan usahawan Ahmad Azraf pada Ogos 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Imane Lunara.






