Ini Seksyen 20 versi naik taraf

Ini Seksyen 20 versi naik taraf

Ini Seksyen 20 versi naik taraf


PENGENDALI skuad Piala Raja Muda Selangor Bawah 12 Tahun (B-12) Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20, Nik Juhaidi Tarmizi Juhari, menegaskan penyandang juara itu hadir dengan identiti permainan yang berbeza berbanding edisi 2024.

Beliau menolak tanggapan bahawa pasukan dari Shah Alam tersebut sekadar mengulangi formula lama, biarpun membawa reputasi sebagai calon juara dua tahun berturut-turut dalam kejohanan berprestij itu.

Selepas muncul juara Kumpulan A, Seksyen 20 kini memperkemas persiapan untuk menghadapi naib juara Kumpulan H, SK Taman Tun Teja dalam aksi Pusingan 16 di Padang SK Sungai Lang pada Selasa.

Mengulas perubahan dalam pasukannya, Nik Juhaidi berkata beberapa laras taktikal dilakukan susulan perkembangan fizikal pemain yang semakin meningkat dan perlu dioptimumkan.

“Pasukan tahun ini tidak sama seperti sebelum ini. Dari segi fizikal pemain pun sudah berbeza dan itu menyebabkan kami terpaksa menyesuaikan sedikit aspek taktikal supaya mereka dapat memberi saingan lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Pertembungan dengan SK Taman Tun Tejadisifatkan sebagai titik permulaan tekanan sebenar fasa kalah mati, dengan Nik Juhaidi memberi penekanan besar terhadap aspek mental agar pemain tidak dibuai keyakinan melampau sebagai juara bertahan.

“Tun Teja sebuah pasukan yang baik dan solid kalau kita lihat keputusan mereka dalam saingan peringkat Kumpulan H,” ujarnya.

Menurutnya, disiplin mental dan kesedaran terhadap tuntutan pertandingan merupakan prinsip yang sentiasa diulang kepada pemain Seksyen 20 sejak awal kejohanan.

“Untuk elakkan pemain selesa sebagai juara bertahan, pihak pengurusan sentiasa ingatkan mereka supaya setiap perlawanan perlu didekati seperti final. Itu motivasi kami supaya mereka bermain lebih baik dan terus mara,” katanya.

Seksyen 20 yang konsisten sepanjang peringkat kumpulan kini memasuki zon penentuan hidup-mati, dan Nik Juhaidi percaya pendekatan berhati-hati serta disiplin mampu memastikan mereka terus kekal dalam landasan perebutan kejuaraan.

Kejohanan yang memasuki fasa 16 terbaik terus menerima sokongan padu Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad selaku penaja utama, manakala Sinar Harian bertindak sebagai media rasmi.

Pasukan terbaik turut berpeluang membawa pulang ganjaran lumayan dengan juara menerima RM5,000 beserta pingat, naib juara RM4,000, tempat ketiga RM3,000 dan tempat keempat RM2,000, masing-masing turut disertakan pingat.

PIALA RAJA MUDA SELANGOR B-12 2025

PUSINGAN 16 TERBAIK

SELASA (25 NOVEMBER)

SK Seksyen 20 lwn SK Taman Tun Teja

(Padang SK Sungai Lang, 8.30 pagi)

SK Dusun Tua lwn SK Ulu Yam Bharu

(Padang SK Putra Heights 2, 8.30 pagi)

SK Damansara Damai 2 lwn SK Sungai Lang

(Padang SK Sungai Lang, 9.45 pagi)

SK Dusun Nanding lwn SK Seksyen 9

(Padang SK Putra Heights 2, 9.45 pagi)

SK Seri Pristana lwn SK Binjai Jaya K11

(Padang SK Putra Heights 2, 3.30 petang)

SK Dato’ Maharaja Lela lwn SK Kebun Baharu

(Padang SK Sungai Lang, 3.30 petang)

SK TUDM Subang lwn SK Taman Universiti

(Padang SK Putra Heights 2, 4.45 petang)

SK Serdang lwn SK Saujana Utama

(Padang SK Sungai Lang, 4.45 petang)

Ringkasan AI

  • PENGENDALI skuad Piala Raja Muda Selangor B-12 Seksyen 20, Nik Juhaidi Tarmizi Juhari, menegaskan penyandang juara mempunyai identiti permainan yang berbeza
  • Pasukan dari Shah Alam ini membawa reputasi calon juara dua tahun berturut-turut
  • Sektor fizikal pemain telah meningkat sehingga menyebabkan perubahan dalam aspek taktikal
  • Penekanan terhadap aspek mental pemain untuk mengelakkan keyakinan melampau sebagai juara bertahan
  • Pasukan terbaik berpeluang membawa pulang ganjaran lumayan dengan juara menerima RM5,000 beserta pingat



Source link

OR

Scroll to Top