‘Inilah masanya tamatkan pengaruh saya’ – TMJ

‘Inilah masanya tamatkan pengaruh saya’ – TMJ


PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail memberikan pesanan sinis dengan mencabar pihak yang kurang senang dengan baginda dalam industri bola sepak untuk segera menamatkan pengaruh serta kredibilitinya.

Teguran sinis itu dipercayai susulan tindakan segelintir pihak yang menuding jari dan melabel baginda sebagai individu yang bertanggungjawab sepenuhnya di sebalik isu membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya.

Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bertitah, golongan tersebut tidak seharusnya melepaskan peluang yang ada sekarang untuk menjatuhkan baginda.

“Ingin saya mengambil peluang ini untuk menyeru kepada semua pihak yang kurang senang dengan saya dalam industri bola sepak. Inilah masanya untuk tamatkan pengaruh dan kredibiliti saya dalam industri bola sepak tempatan mahupun antarabangsa secara total.

“Saya dilabel oleh majoriti penyokong pasukan lawan sebagai individu yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu tujuh pemain yang digantung. Ingin saya sampaikan kepada anda semua. Jangan lepaskan peluang ini,” titah baginda.

Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail mendedahkan ada orang dalam FAM yang bertindak mendalangi kempen sabotaj bagi menjadikan baginda sebagai kambing hitam isu tujuh pemain warisan tersebut.

Titah baginda, individu-individu terbabit dipercayai menyimpan rasa tidak puas hati sejak dahulu lagi kerana gagal memanipulasi kedudukan mengaut keuntungan peribadi.

Tunku Mahkota Ismail turut mencadangkan kumpulan berkenaan agar bersatu dan menggerakkan jentera masing-masing melalui pelbagai platform jika mahu melihat impian mereka tercapai.

Tegas baginda, tindakan sekadar bercakap kosong di media sosial tidak akan membawa sebarang perubahan selagi tiada usaha yang lebih gigih dilakukan.

“Segera gerakkan ‘jentera anda’ dalam media sosial, media arus perdana, badan induk, undang-undang dan lain-lain. Saya berharap anda buat lebih baik.

“Gunakan masa dan peluang ini sepenuhnya. Setakat bercakap atau menulis sahaja tidak akan mengubah apa-apa. Sila bersatu dan berusaha dengan lebih gigih,” titah baginda.

Ringkasan AI

  • Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mencabar pihak tidak senang dengan beliau dalam bola sepak untuk mengakhiri pengaruhnya
  • Beliau dituduh bertanggungjawab atas isu tujuh pemain Harimau Malaya yang digantung
  • Tunku Mahkota Ismail adalah pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim
  • Ada individu dalam FAM yang mendalangi kempen sabotaj terhadapnya
  • Beliau menyarankan pihak tersebut menggunakan media sosial dan pelbagai platform untuk mencapai tujuan mereka



Source link

OR

Scroll to Top