PRESTASI hambar skuad perseorangan negara yang gagal mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2025 di Solo, Indonesia memberi isyarat mengenai standard Malaysia di benua ini.
Malah Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen turut menyifatkan keputusan tersebut sudah dijangka dan bukan sesuatu yang mengejutkan berdasarkan kemampuan para pemain negara.
Justeru diharapkan semua pihak menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka, meskipun beliau sebenarnya mengharapkan pencapaian lebih baik berbanding apa yang dilakar pada kejohanan berkenaan.
“Saya sebenarnya memiliki cita-cita lebih tinggi. Bagaimanapun, saya tahu di manakah tahap kita dan dengan siapa pemain akan bertemu.
“Mungkin ada berasa kecewa dengan beberapa individu kerana mengharapkan aksi lebih baik tetapi (keputusan) ini sudah dijangka. Bagaimanapun, saya faham dan akan memperbaiki prestasi,” katanya ketika ditemui media di ABM, Bukit Kiara pada Selasa.
Pada kejohanan yang berakhir Ahad lalu, tiada seorang pun pemain perseorangan negara sama ada lelaki atau wanita yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik.
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia menunjukkan penurunan drastik selepas edisi tahun lalu pasukan negara berjaya membawa pulang satu pingat perak dan tiga gangsa.
Di sebalik keputusan tersebut Jonassen telah mengenal pasti tiga fokus yang perlu diberi keutamaan untuk ditambah baik iaitu fizikal, disiplin taktikal dan ketahanan mental.
Katanya, biarpun beberapa pemain muda giat berlatih dengan skuad senior kebangsaan, namun mereka tidak boleh mengharapkan keputusan yang segera.
“Kami ada membuat beberapa perubahan, mereka kini berlatih dengan pasukan senior, namun ia tidak semudah itu. Pembangunan tidak berlaku dalam sekelip mata. Ia adalah proses yang panjang.
“Semua orang mahukan perubahan sepanjang masa. Tetapi sebenarnya, apa yang anda perlukan adalah terus berusaha dengan jalan yang diambil dan ditambah dengan beberapa penyesuaian. Kemudian anda boleh melihat hasilnya.
“Saya dan barisan kejurulatihan akan membuat penilaian terhadap prestasi kali ini mengenai apa aspek yang perlu diperbaiki. Mungkin perlu memberi penekanan kepada fizikal, taktikal dan ketahanan mental,” ujar Jonassen.