Inisiatif Rumah Bangsa: KJ mahu kembali ke UMNO, sedia draf surat permohonan

Inisiatif Rumah Bangsa: KJ mahu kembali ke UMNO, sedia draf surat permohonan


Bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara terbuka menyatakan hasrat untuk kembali menyertai United Malays National Organisation (UMNO) selepas dipecat daripada parti itu pada tahun 2023.

Rumah Bangsa peluang kembali ke UMNO

Perkara itu diumumkan menerusi petikan audio siar ‘Keluar Sekejap’, apabila bekas Menteri Kesihatan tersebut memaklumkan beliau melihat inisiatif ‘Rumah Bangsa’ sebagai peluang untuk kembali bersama parti berkenaan.

Dalam rakaman tersebut, Khairy turut mengarahkan Setiausaha Akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar untuk menyediakan draf surat permohonan bagi tujuan itu.

“Saya melihat ini sebagai perkembangan positif dan peluang murni bagi saya secara peribadi.
“Bolehlah Bobby (Raja Syahrir) mula draf surat (permohonan menyertai inisiatif Rumah Bangsa)… saya hendak tengok draf surat berkenaan,” kata Khairy.

Pelawaan presiden parti disambut baik

Difahamkan, hasrat itu timbul susulan kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan bahawa parti berkenaan membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti tersebut tanpa syarat.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional, pelawaan di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ itu bukan sahaja terbuka kepada bekas ahli, malah kepada individu lain yang mahu bersama memperjuangkan agenda parti.

Tambah beliau lagi, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses tersebut dengan segera berdasarkan tatacara yang selaras dengan Perlembagaan parti.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berharap usaha berkenaan mampu menjadi titik penyatuan semula dalam kalangan ahli serta memperkukuh kekuatan parti dalam meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

umno

Artikel lain: Semangat Ramadan! UMNO pelawa bekas ahli dipecat, digantung sertai semula parti -Zahid

Untuk rekod, pada Januari 2023 UMNO memecat Khairy daripada parti itu, selain menggantung keahlian beberapa pemimpin termasuk Hishammuddin Hussein dan Shahril Hamdan. Tindakan tersebut diambil susulan dakwaan melanggar disiplin parti termasuk membantu pihak lawan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia.

Rakaman penuh episod 191 audio siar ‘Keluar Sekejap’ yang memaparkan ulasan Khairy mengenai hasratnya itu dijangka disiarkan di platform media sosial beliau pada esok.

Sumber: YouTube Keluar Sekejap





Source link

OR

Scroll to Top