Kuala Lumpur: Penggunaan sistem solar di negara ini dilihat semakin popular dan berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila banyak individu, organisasi dan kerajaan menyedari manfaat daripada tenaga boleh baharu.
Pengguna isi rumah yang dilengkapi dengan pemasangan Meter Pintar, boleh memantau penggunaan tenaga dengan lebih berkesan dengan mempraktikkan amalan kecekapan tenaga.
Pada masa yang sama pengguna turut berpeluang untuk menikmati penjimatan bil elektrik dari penjanaan tenaga solar.
Pemasangan solar boleh dilakukan di bawah skim-skim kerajaan sedia ada seperti Net Energy Metering (NEM) dan Self-Consumption (SELCO).
Justeru dalam usaha menyebarluaskan dan menyokong penggunaan tenaga boleh baharu, Tenaga Nasional Berhad (TNB), melaksanakan tanggungjawab sosialnya dalam menyokong komuniti dengan pemasangan panel solar di beberapa masjid terpilih.
Inisiatif ini bukan saja dapat memberi impak dalam membantu mengurangkan beban kewangan masjid dalam membayar bil elektrik, kerana pada masa sama mendidik komuniti dalam mempromosikan kelestarian.
Hasil daripada inisiatif itu, lebihan sumber dana yang ada dapat digunakan untuk aktiviti kebajikan dan pembangunan komuniti.
Bagi tempoh jangka masa panjang, inisiatif ini boleh mendorong transisi ke arah penggunaan tenaga yang lebih mesra alam dan lestari di tempat ibadat dan membantu komuniti berkembang melalui penyelesaian yang praktikal dan lestari.
Dua pakej sistem solar
Pakej pertama adalah pemasangan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh TNB se-
perti pepasangan berkapasiti 4.5 kWp NEM yang dipasang di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Kampung Tanjung Gahai, Kuala Lipis, Pahang pada 11 September 2022.
Pakej kedua ialah SARE (Supply Agreement Renewable Energy), yang juga dikenali sebagai penyelesaian Zero CAPEX.
Di bawah model ini, masjid tidak perlu menanggung sebarang kos permulaan untuk pemasangan, kerana GSPARX Sdn Bhd (anak syarikat TNB) menanggung sepenuhnya kos pemasangan dan operasi sistem solar PV.
Dengan pemasangan SARE, masjid akan membeli elektrik yang dijana oleh tenaga solar pada kadar tarif yang lebih rendah daripada GSPARX, manakala tenaga tambahan yang tidak diliputi oleh penjanaan solar akan dibeli daripada TNB pada tarif biasa.
Pemasangan standard 20 kWp boleh mengurangkan bil elektrik kira-kira RM3,500 setahun (tertakluk kepada tarif yang dipersetujui dan berbeza berdasarkan faktor-faktor teknikal).
Ketika ini, Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Tapah, Perak sudah dipasang dengan sistem solar PV 25.76 kWp dengan jangkaan penjimatan antara RM3,500 hingga RM4,000 setahun.
Ia juga dapat mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 25 tan metrik CO2eq setahun (bersamaan dengan jumlah gas rumah hijau yang diserap oleh 413 anak pokok selama 10 tahun).
Setakat ini, tujuh lagi masjid hampir siap dipasang dengan solar, dengan sasaran sejumlah 38 masjid di Perak dalam fasa semasa.
Masjid Saidina Umar Al Khattab, Kampung Tanjung Gahai di Kuala Lipis, Pahang dipasang dengan sistem solar oleh TNB pada 11 September 2022.
Pengerusi Masjid Saidina Umar Al Khattab, Kampung Tanjung Gahai, Yusiniamir Mat Amin, berkata sejak pemasangan solar di masjid, bil elektrik berkurang dengan banyak.
“Duit lebihan yang ada, kami gunakan untuk aktiviti lain seperti kelas agama dan membantu jemaah. Terima kasih kepada semua yang terbabit terutamanya TNB.
“Semoga ia terus bawa manfaat kepada orang lain,” katanya.
Bagi Bendahari Masjid Saidina Umar Al Khattab, Kampung Tanjung Gahai, Mohd Shariff Abdullah, juga berkata bil elektrik bulanan tidak lagi membebankan.
“Sejak masjid guna solar, ia memang banyak membantu dalam pengurusan kewangan. Syukur mendapat sokongan TNB ini, semoga usaha ini terus beri manfaat kepada lebih banyak komuniti,” katanya.
Diharap dengan usaha TNB, ia boleh memberi inspirasi kepada lebih banyak organisasi, pembuat dasar dan komuniti untuk meneroka penyelesaian tenaga boleh baharu bersama-sama.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif tenaga boleh baharu TNB dan bagaimana masjid atau ruang komuniti lain boleh memasang sistem solar PV, layari https://www.tnb.com.my/solar atau https://www.gsparx.com.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd