Inkues Zara Qairina: Peguam bangkitkan isu hina mahkamah terhadap Shafie Apdal sekali lagi

Inkues Zara Qairina: Peguam bangkitkan isu hina mahkamah terhadap Shafie Apdal sekali lagi


am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Peguam Datuk Ram Singh sekali lagi membangkitkan isu kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada prosiding pengurusan kes di Mahkamah Kanak-Kanak, hari ini.

Beliau yang mewakili salah seorang tertuduh kanak-kanak, berkata pihaknya memohon kepada mahkamah berhubung isu penghinaan mahkamah yang didakwa dilakukan Mohd Shafie, berdasarkan video tular sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus yang mendengar permohonan itu meminta supaya menunggu sehingga Jabatan Peguam Negara (AGC) yang turut mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Mohd Shafie selesai dengan tindakan mereka.

“Kita mengemukakan permohonan menghina mahkamah dan ia turut disokong wakil Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

“Bagaimanapun, dalam isu ini, mahkamah menyatakan supaya kita menunggu sehingga AGC selesai. AGC juga mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Mohd Shafie pada Rabu,” katanya ditemui selepas selesai prosiding pengurusan kes lima kanak-kanak yang berdepan pertuduhan buli di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ram membawa isu video tular di Mahkamah Koroner yang menunjukkan Mohd Shafie bercakap mengenai kes kematian arwah Zara Qairina, antaranya menyebut ia satu kes pembunuhan, selain turut mengungkit mengenai inkues yang sedang dijalankan.

Ram berkata, AGC memberi tempoh seminggu kepada Mohd Shafie untuk menjawab notis tunjuk sebab dan mereka menunggu sehingga tempoh itu selesai.

“Kita tunggu sehingga notis itu selesai dan terpulang kepada kami, tidak kira apa hasilnya nanti, terpulang kepada kami untuk mengemukakan permohonan menghina mahkamah.

“Itu saja apa yang kita boleh cakap mengenai apa yang berlaku di Mahkamah Kanak-Kanak, lebih daripada itu kami tidak boleh cakap,” katanya merujuk kepada ‘gag order’ yang dikeluarkan di Mahkamah Kanak-Kanak.

Pada 20 Ogos lalu, lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak di sini, atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebelum pelajar tingkatan satu itu ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai lalu.

Kesemua remaja berumur bawah 18 tahun itu yang identiti mereka tidak boleh didedahkan mengikut Akta Kanak-kanak 2001, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, pada prosiding tertutup.

Mengikut pertuduhan, mereka dituduh dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina yang mana perkataan itu didengari yang mungkin menyebabkannya berasa terganggu dengan perkataan berkenaan, antara jam kira-kira 10 hingga 11 malam 15 Julai lalu di sebuah sekolah di Papar.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Setiap tertuduh bagaimanapun dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan deposit RM1,000 dan seorang penjamin warga tempatan

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim, dan Deepa Nair Thevaharan.

Pasukan peguam, Ram, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada tertuduh berkenaan, manakala baki empat tertuduh lagi diwakili oleh peguam, Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, ⁠Fareez Salleh dan ⁠Sylyester Kuan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada hari ini dan 16 Oktober depan, manakala pendengaran kes bermula 8 hingga 12 Disember serta 15 hingga 19 Disember.

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) akibat kecederaan otak traumatik teruk dengan komplikasi hipoksia iskemia encephalopathy (HIE) pada 17 Julai lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top