Inkues Zara Qairina: Peguam buat laporan polis susulan kebocoran maklumat saksi

Inkues Zara Qairina: Peguam buat laporan polis susulan kebocoran maklumat saksi

Inkues Zara Qairina: Peguam buat laporan polis susulan  kebocoran maklumat saksi


news@nst.com.my

Kota Kinabalu: Peguam Datuk Ram Singh membuat laporan polis berhubung kebocoran maklumat membabitkan saksi kanak-kanak dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Ram yang mewakili saksi kanak-kanak yang disebut sebagai ‘Pelajar A’ berkata, dia membuat laporan polis di Balai Polis Luyang kira-kira 4 petang semalam.

“Saya mahu polis menyiasat pelanggaran maklumat sulit ini, mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab, dan mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi saksi dan memelihara integriti inkues,” katanya sambil menambah bahawa beliau selesai merekodkan kenyataannya dengan pegawai penyiasat.

Semalam, saksi kanak-kanak itu sepatutnya memberi keterangan selepas saksi kelapan, Azhari Abd Sagap mengakhiri keterangannya.

Bagaimanapun, insiden kebocoran itu menyebabkan inkues, yang memasuki hari ke-10, pada Jumaat ditangguhkan ke Isnin selepas saksi kanak-kanak itu dianggap tidak layak secara emosi untuk memberi keterangan.

Menurut Ram, maklumat yang dibocorkan itu, termasuk kenyataan saksi, yang bertujuan untuk dikemukakan di Mahkamah Koroner, dibocorkan dan disebarkan secara meluas di media sosial, termasuk melalui WhatsApp.

Tambahnya, video yang dimuat naik ke TikTok turut mendedahkan nama lima pelajar.

Ram berkata, kejadian itu menyebabkan kesulitan yang tidak perlu kepada anak guamnya dan keluarganya.

“Ini jelas bertentangan dengan undang-undang, khususnya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, serta peruntukan lain yang menjaga kerahsiaan prosiding mahkamah,” tegasnya.

Semalam, Koroner Amir Shah Amir Hassan menyatakan kekecewaannya dengan kebocoran itu.

Beliau turut menasihatkan Ram membuat laporan polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top