am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner, di sini, diberitahu Phenytoin yang ditemui dalam tisu buah pinggang Allahyarham Zara Qairina Mahathir adalah ubat yang digunakan untuk mencegah sawan.
Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu dalam keterangannya ketika inkues kematian Zara Qairina petang ini, bagaimanapun menyatakan tidak pasti sama ada ubat antisawan itu diberikan ketika arwah dibawa ke HQE pada 16 Julai lalu.
Perkara itu ditanya peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang daripada lima tertuduh kanak-kanak berdasarkan kenyataan saksi Dr Jessie yang menyebut mengenai nama ubat berkenaan semalam.
“Dalam laporan bedah siasat anda di perenggan 29 (berhubung analisis toksikologi yang mengesan Phenytoin dalam tisu buah pinggang). Adakah anda tahu bahawa rawatan ke atas si mati hanya diberikan selepas dia dibawa ke hospital?” soalnya.
Dr Jessie menjawab: “Saya tidak tahu. Doktor yang merawat memaklumkan kepada saya bahawa mereka lazimnya memberikan Phenytoin sebagai profilaksis kepada pesakit kecederaan otak traumatik yang serius.”
Ram Singh kemudian menyoal lanjut sama ada beliau mempunyai akses kepada rekod perubatan si mati sebelum menyediakan laporan bedah siasat.
Dr Jessie menjelaskan bahawa selain rekod bertarikh 16 hingga 17 Julai, beliau tidak dapat memperoleh rekod hospital yang lebih awal.
© New Straits Times Press (M) Bhd