Insentif menanti skuad sepak takraw

Insentif menanti skuad sepak takraw


Hannah (tengah) dan Mohd Sumali (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran STL 2025 di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama

BERITA gembira buat skuad sepak takraw negara apabila mereka bakal menerima insentif susulan kejayaan meraih dua kejuaraan Piala Asia 2025 minggu lalu.

Perkembangan tersebut dikongsi Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan yang menyifatkan ia sebagai sebahagian penghargaan buat para pemain.

Bagaimanapun, kata beliau, jumlah imbuhan tersebut bergantung kepada kemampuan kewangan persatuan.

“Memang ada (beri insentif), apa yang termampu. Kita akan beri, itu janji saya.

“PSM pun tidak banyak duit. Jadi sekadar yang ada dan termampu,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Liga Sepak Takraw (STL) di Kuala Lumpur pada Selasa.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Pasukan sepak takraw kebangsaan mengungguli acara kuadran dan regu, manakala muncul naib juara kategori double dan regu berpasukan.

Mohd Sumali juga akan membuat permohonan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) agar dapat mempertimbangkan imbuhan tambahan buat para pemain.

“Kita pun harap KBS dan MSN dapat pertimbangkan pemberian ganjaran kepada pemain yang menang emas, kalau perak pun Alhamdulillah,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah memaklumkan bahawa setakat ini Piala Asia belum tersenarai dalam kejohanan yang diiktiraf oleh MSN.

“Buat masa ini MSN belum menyenaraikan Piala Asia (pengiktirafan imbuhan), yang ada cuma Kejohanan Asia.

“Namun jika ada permohonan daripada persatuan sukan, MSN akan melihat dan mempertimbangkannya,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top