Insentif suntik semangat atlet para

Insentif suntik semangat atlet para


PENERIMAAN insentif sukan bukan sekadar penghargaan buat atlet malah menjadi pemangkin semangat untuk terus berusaha mempamerkan aksi terbaik dalam kejohanan antaranya temasya Sukan Para Malaysia (Para Sukma).

Atlet para, Mohamad Asmuei Che Kamaruddin, 29, menyifatkan insentif bernilai RM5,000 yang diterimanya sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan usaha keras dalam meraih kejayaan di Para Sukma XXI Sarawak 2024 lalu.

Mohamad Asmuei menang pingat perak bagi lontar peluru manakala bagi acara lempar cakera dan rejam lembing masing-masing pingat gangsa.

“Sebagai atlet, insentif ini memberi motivasi untuk saya terus berlatih dan meningkatkan prestasi.

“Saya berazam untuk memperbaiki pencapaian pada Sukma akan datang,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Penyerahan Insentif Pencapaian Cemerlang Kontinjen Para Sukma XXI Sarawak 2024 Negeri Kelantan di Tunjong di Kota Bharu pada Isnin.

Asmuei yang sudah menyertai tiga edisi Para Sukma, turut berkongsi bahawa wang insentif yang diterima sangat membantu dalam membuat persiapan menjelang Ramadan dan Aidilfitri selain untuk menolong ibu bapanya.

Atlet-atlet para menerima insentif dan diraikan dalam satu majlis di Tunjong pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

“Sebahagian daripada wang ini saya gunakan untuk keperluan latihan dan sebahagian lagi untuk membantu keluarga, terutama dalam membuat persiapan puasa dan raya.

“Ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” ujarnya yang juga bekerja sebagai kerani dan berasal dari Kampung Sungai, Bachok.

Asmuei yang turut menghadapi cabaran sebagai individu kurang upaya (OKU) kerdil, tidak menjadikan kekurangan sebagai halangan untuk terus melakar kejayaan dalam arena sukan acara padang.

“Saya berharap lebih ramai atlet mendapat manfaat daripada insentif ini kerana bukan sahaja membantu dari segi kewangan tetapi juga menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik.

“Saya juga ingin membuktikan bahawa atlet OKU juga mampu bersaing dan membawa pulang pingat untuk negeri dan negara,” katanya penuh semangat.

Barisan atlet para yang menunjukkan pingat yang dimenangi. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Barisan atlet para yang menunjukkan pingat yang dimenangi. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Sementara itu, Exco Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, seramai 28 atlet para negeri ini berjaya meraih pingat dalam temasya Para Sukma XXI Sarawak 2024 dan menerima insentif berjumlah RM85,500 sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.

Dalam kejohanan yang berlangsung di Sarawak itu, kontinjen para Kelantan berjaya membawa pulang 15 pingat emas, 11 perak, dan 17 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 43 pingat.

Menurut Zamakhshari, kejayaan ini membuktikan atlet para negeri ini mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan wajar diberikan penghargaan.

“Kejayaan kontinjen para Kelantan di Sukma Sarawak adalah satu kebanggaan besar.

“Atlet kita bukan sahaja menunjukkan semangat juang yang tinggi, malah membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan halangan untuk mencapai kejayaan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top