am@hmetro.com.my
Langkawi: Tiga lagi mayat termasuk seorang kanak-kanak perempuan ditemui di perairan pulau ini, susulan insiden bot dipercayai membawa 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) karam berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand.
Penemuan terbaharu itu menjadikan keseluruhan empat mayat ditemukan sehingga jam 7.30 malam ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin, berkata mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kawasan Tanjung Cincin jam 5 petang.
“Pasukan penyelamat sama turut menemui dua lagi mayat lelaki dipercayai etnik Rohingya di Teluk Datai sekitar jam 6.15 petang.
“Keseluruhannya, sehingga kini empat mayat sudah ditemui, termasuk satu mayat wanita yang ditemukan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan. malam ini.
Menurutnya, pasukan keselamatan turut menahan tiga lagi lelaki etnik Rohingya, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan setakat ini 12 orang, iaitu lapan lelaki dan dua wanita etnik Rohingya serta dua lelaki warga Bangladesh.
Khairul Azhar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan secara besar-besaran dengan pembabitan pelbagai aset APMM termasuk KM Siangin, Petir 81, Benteng 7, Perkasa 1226, Panggalang 26 dan pesawat CL 415.
Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi turut mengatur gerak aset PSC 20 dan RH 68 dalam usaha mengesan mangsa yang masih hilang.
“Operasi SAR masih diteruskan bagi mengesan baki mangsa sama ada terselamat atau terkorban,” katanya.
Beliau turut memaklumkan satu sidang media khas berhubung kejadian kapal karam membabitkan etnik Rohingya, Myanmar dan Bangladesh akan diadakan jam 10 pagi esok bagi memberikan perkembangan terkini mengenai operasi berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita Rohingya lemas selepas bot membawa kira-kira 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) pecah dan karam di perairan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
© New Straits Times Press (M) Bhd






