Insiden curi kabel akibatkan kelewatan tren KTMB

Insiden curi kabel akibatkan kelewatan tren KTMB


hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan tiga insiden kecurian kabel sistem semboyan dan komunikasi di laluan utara hingga menyebabkan kelewatan tren.

Kecurian sepanjang 350 meter mengakibatkan kelewatan tren melebihi 60 minit bagi perkhidmatan Komuter Utara dan tren elektrik (ETS).

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, antara lokasi yang terkesan ialah laluan Tapah Road – Sungkai (KM250.5) dengan anggaran kecurian paling ketara iaitu sekitar 200 meter.

“Ia diikuti kawasan Kamunting– Bukit Merah – Bagan Serai (KM87.25) sepanjang 110 meter, serta kawasan Simpang Ampat – Bukit Mertajam (KM15.5) membabitkan 40 meter kabel.

“Akibat daripada insiden ini, ia telah menjejaskan operasi tren yang mengakibatkan kelewatan ketara pada tren-tren seperti berikut: EP9172 (KL Sentral – Butterworth) – kelewatan sehingga 80 minit; EG9321 (Butterworth – Segamat) – kelewatan selama 115 minit; EX9107 (Butterworth – KL Sentral) -kelewatan sehingga 111 minit; EX9207 (Padang Besar – KL Sentral) – kelewatan sehingga 80 minit; EG9420 (Segamat – Padang Besar) – kelewatan sehingga 80 minit dan KTM Komuter Utara laluan Ipoh – Butterworth – Ipoh mengalami purata kelewatan 30 minit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebagai langkah awal, pemakluman dibuat kepada penumpang menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan platform media sosial rasmi KTMB.

“Dari Januari sehingga Mei tahun ini, kecurian kabel telah mencatatkan hampir 45 kes di sektor Utara. Kecurian sebegini adalah satu bentuk sabotaj terhadap infrastruktur rel yang boleh mengancam keselamatan ratusan penumpang serta melumpuhkan sistem pengangkutan awam.

“Bagi langkah mitigasi, KTMB akan menambahbaik rangkaian sistem persemboyanan dengan anggaran kos sebanyak RM12.8 juta setahun dalam tempoh tiga tahun yang lebih tertumpu kepada kawasan titik panas,” katanya.

Katanya, pemasangan penutup ‘manhole’ dengan mekanisma kunci keselamatan khas di hampir 21 lokasi turut dilaksanakan selain daripada menambah infrastruktur pemantauan dan pencegahan termasuk kamera litar tertutup (CCTV), dron dan memasang pagar keselamatan anti-panjat.

“Pemantauan dan pengawasan oleh anggota Polis Bantuan KTMB dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan turut dipertingkatkan di kawasan titik panas dalam menangani kes kecurian ini.

“KTMB menyeru kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah ini.

“KTMB juga memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami para penumpang dan terus komited memastikan keselamatan serta kebolehpercayaan perkhidmatan tren demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top