Inteam Bakal Gegar Axiata Arena Dengan Konsert 25 Tahun Nur Kasih

Inteam Bakal Gegar Axiata Arena Dengan Konsert 25 Tahun Nur Kasih


Selepas kejayaan Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam di Idea Live Arena, Damansara Intan pada 28 September lalu yang menarik lebih 5,000 peminat, kumpulan nasyid terkenal itu kini bersedia melangkah ke pentas lebih besar.

Inteam bakal mencipta sejarah tersendiri apabila mementaskan konsert mega bertajuk 25 Tahun Inteam Nur Kasih di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 1 Februari tahun depan. Penganjur menjangkakan lebih 9,500 penonton akan hadir dari seluruh negara untuk meraikan perjalanan 25 tahun kumpulan itu dalam dunia seni.

Konsert yang dianjurkan oleh Icon Entertainment ini dianggap satu langkah berani dalam usaha mengangkat semula irama nasyid agar terus relevan di persada muzik arus perdana dan antarabangsa.

Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, keputusan untuk menganjurkan konsert berskala besar itu dibuat kerana percaya Inteam mempunyai nilai tersendiri dalam menyampaikan mesej ketuhanan dengan gaya yang lebih segar dan universal.

“Saya sentiasa memilih artis yang mempunyai visi dan nilai kuat untuk diketengahkan, dan Inteam memenuhi kriteria itu. Mereka bukan sekadar kumpulan nasyid, tetapi ikon yang membuktikan muzik berunsur spiritual boleh dibawakan dengan gaya moden.

“Untuk konsert kali ini, kami mahu tampil dengan sesuatu yang luar biasa. Akan ada elemen baharu serta kejutan yang pasti memberi pengalaman istimewa buat peminat. Matlamat utama kami ialah membawa muzik nasyid ke peringkat dunia dan menunjukkan ia masih dekat di hati pendengar,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, anggota Inteam, Muhammad Hazamin Harun, menyatakan kolaborasi bersama Icon Entertainment bakal memberikan impak besar dari segi produksi dan pengalaman persembahan.

“Kami yakin kerjasama ini akan memberikan kepuasan berganda kepada penonton. Icon Entertainment sememangnya berpengalaman luas dalam menganjurkan konsert besar dan kami mahu manfaatkan peluang ini sebaik mungkin.

“Kami berjanji akan memberikan persembahan terbaik. Inteam memiliki lebih 130 lagu dan kali ini kami akan menghidupkan semula banyak karya lama yang penuh nostalgia,” katanya.

Selain Hazamin, Inteam turut dianggotai Mohd Syahril Abdul Khalid, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad.

“Apa yang menjadikan konsert ini lebih istimewa, ia bakal menjadi konsert solo nasyid pertama diadakan di Axiata Arena. Kami anggap ini satu penghormatan besar dan pada masa sama, satu tanggungjawab untuk terus memartabatkan muzik nasyid,” tambah Hazamin.

Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih dijangka menjadi antara persembahan nasyid terbesar di Malaysia dengan kapasiti hampir 10,000 penonton.

Sumber: BH Online





Source link

OR

Scroll to Top