Inteam Rai 25 Tahun di Axiata Arena, Bukti Nasyid Terus Mekar & Relevan Merentas Zaman

Inteam Rai 25 Tahun di Axiata Arena, Bukti Nasyid Terus Mekar & Relevan Merentas Zaman


Malam Ahad lalu menjadi saksi sebuah perjalanan seni yang panjang, jujur dan penuh makna apabila kumpulan nasyid tersohor tanah air, Inteam meraikan ulang tahun ke-25 penubuhan mereka menerusi penganjuran Konsert Nur Kasih 25 Tahun di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya ia tampil sebagai medan pertemuan jiwa antara muzik, dakwah dan memori, menghimpunkan ribuan peminat setia yang membesar bersama karya-karya mereka sejak era awal 2000-an.

Axiata Arena yang gah dan luas bertukar suasana menjadi lebih intim dan syahdu, seolah-olah setiap lirik yang dilantunkan menyapa terus ke hati penonton.

Dianggotai Syah, Hazamin, Hisyam dan Rahim, Inteam membuktikan usia bukan penghalang untuk terus segar berkarya.

Lebih 25 lagu dipersembahkan sepanjang hampir tiga jam, merangkumi seleksi karya terbaharu serta himpunan lagu malar segar yang sudah sebati dengan halwa telinga peminat.

Setiap segmen disusun kemas, mengalir lancar seperti sebuah penceritaan tentang perjalanan hidup, iman dan kemanusiaan.

Sebagai konsert berskala besar kedua selepas sambutan hangat tahun lalu, pementasan kali ini dilihat lebih matang dan menyentuh perasaan.

Persembahan digarap dengan keseimbangan elemen rohani, nilai kemasyarakatan dan hiburan yang sederhana, sekali gus mencerminkan evolusi muzik Inteam sepanjang dua dekad setengah berkarya dalam industri.

Rahim menyifatkan malam bersejarah itu sebagai detik yang tidak pernah terlintas dalam bayangan mereka suatu ketika dahulu.

“Kami bermula dengan langkah kecil. Tidak pernah terfikir suatu hari nanti dapat berdiri di pentas sebesar ini.

“Tarikh 1 Februari 2026 akan sentiasa terpahat sebagai memori paling manis dalam hidup kami.

“Ini hadiah terindah buat perjalanan 25 tahun Inteam,” katanya penuh emosi.

Konsert dimulakan dengan rangkaian lagu pembuka seperti Dia Muhammad, Kasih Kekasih dan Siti Khadijah yang segera menghangatkan suasana.

Ribuan suara penonton bergema, menyanyi bersama tanpa ragu, membuktikan lagu-lagu tersebut masih segar dalam ingatan.

Rentak persembahan kemudian diperlahankan dengan karya reflektif seperti Bisikan Nurani dan Mulakan Hari Ini.

Pencahayaan sesuai serta susunan muzik yang mendamaikan mencetuskan suasana hening, membuatkan ramai yang tenggelam dalam renungan dan emosi sendiri.

Antara detik paling meruntun jiwa pastinya segmen kemanusiaan menerusi audio The Voice of Hind Rajab.

Paparan itu membawa mesej solidariti dan empati sejagat, mengingatkan penonton bahawa muzik bukan sekadar hiburan, malah medium untuk menyuarakan kepedulian terhadap penderitaan insan lain.

Segmen tersebut selari dengan prinsip perjuangan Inteam yang sentiasa mengangkat nilai kasih sayang dan kemanusiaan dalam setiap karya.

Kemeriahan malam berkenaan turut diserikan dengan kemunculan beberapa artis undangan.

Zizi Kirana dan Nazrey Johani tampil memberikan warna berbeza, manakala kehadiran figura legenda Datuk M. Nasir mencuri perhatian ramai.

Gabungan suara mereka menerusi lagu Perjalanan 2 dan Bonda mencipta momen magis yang mendapat sorakan gemuruh, seakan menyatukan generasi lama dan baharu di bawah satu pentas.

Menjelang penghujung persembahan, Axiata Arena bertukar menjadi lautan cahaya telefon bimbit saat lagu Setanggi Syurga dan Nur Kasih berkumandang.

Ribuan penonton berdiri, menyanyi seirama, mencipta koir raksasa yang menggetarkan ruang stadium. Suasana itu bukan sekadar penutup konsert, sebaliknya simbol ikatan erat antara Inteam dan peminat yang setia menyokong sejak dahulu.

Selepas 25 tahun, Inteam jelas membuktikan nasyid masih mempunyai tempat istimewa di hati masyarakat. Dalam dunia muzik yang sentiasa berubah, mereka terus berdiri teguh dengan identiti tersendiri, menggabungkan dakwah dan seni secara harmoni.

Konsert Nur Kasih 25 Tahun akhirnya menjadi bukti bahawa karya yang lahir daripada keikhlasan akan sentiasa hidup, merentas generasi dan zaman.

Bagi Inteam, perjalanan ini belum berakhir. Sebaliknya, ia baru membuka lembaran baharu untuk terus menyemai mesej kebaikan melalui muzik yang menyentuh jiwa.



Source link

OR

Scroll to Top