Inter berwaspada, Inzaghi tak ambil mudah aksi tetangga Milan

Inter berwaspada, Inzaghi tak ambil mudah aksi tetangga Milan


Milan: Walaupun Inter Milan berada dalam prestasi cemerlang musim ini berbanding seteru setempat, AC Milan, rekod hambar dalam pertemuan tetangga membuatkan Simone Inzaghi lebih berhati-hati menjelang separuh akhir Piala Itali.

Inter kini mendahului Serie A, manakala Milan terperosok di tangga kesembilan.

Inter turut mencatat lima kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, sedangkan Milan tewas empat daripada enam perlawanan terakhir.

Namun, dalam tiga pertemuan antara kedua-dua pasukan musim ini, Milan menang dua kali, manakala Inter sekadar mencatat seri 1-1 dalam aksi terakhir Februari lalu.

“Kami sedar cabaran yang menanti. Dalam perlawanan pertama musim ini, kami mengalami kesukaran. Dua lagi perlawanan agak seimbang,” kata Inzaghi menjelang aksi pertama awal pagi Khamis.

“Ini adalah separuh akhir Piala Itali dan ia juga aksi tetangga Milan. Kami mahu beraksi cemerlang, tetapi sedar Milan adalah pasukan berkualiti yang menyusahkan ramai lawan musim ini, termasuk kami.”

Inter berada di landasan terbaik dalam misi memburu kejuaraan Serie A dengan kelebihan tiga mata di puncak liga, selain berjaya menyingkirkan Feyenoord untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

“Matlamat kami adalah memasuki April dengan masih bersaing dalam semua kejohanan. Kami tahu cabaran sebenar bermula sekarang, tetapi ini satu kebanggaan,” kata Inzaghi.

Bagaimanapun, pengendali berusia 48 tahun itu mengakui Milan tetap menjadi ancaman, terutama dalam aksi satu perlawanan seperti yang dibuktikan ketika mereka menewaskan Real Madrid 3-1 dalam saingan Liga Juara-Juara pada November lalu.

“Kami tahu ini adalah pertarungan selama 180 minit. Milan mungkin bergelut dalam beberapa aksi musim ini, tetapi mereka juga mampu mencipta masalah besar. Kami harus sangat berhati-hati.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top