PENGENDALI Inter Milan, Simone Inzaghi, melahirkan rasa puas hati dengan keputusan seri 3-3 menentang Barcelona pada perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Olimpik Lluís Companys pada Khamis.
Bagaimanapun, Inzaghi mula mengakui kebimbangan terhadap kecederaan beberapa pemain utama I Nerazzurri yang membayangi persembahan cemerlang Inter di laman lawan.
Skuad Inzaghi kini berdepan dengan masalah kecergasan pemain menjelang perlawanan timbal balik di San Siro pada Rabu depan, apabila beberapa tonggak utama terpaksa diketepikan akibat kecederaan.
Pertahanan kanan, Benjamin Pavard, sudah pun direhatkan akibat kecederaan buku lali, manakala penyerang bintang, Lautaro Martinez, tidak dapat meneruskan permainan pada separuh masa kedua disebabkan masalah hamstring.
“Lautaro merasakan sesuatu pada kakinya dan kami akan mendapat maklumat lanjut esok selepas menjalani beberapa ujian, tetapi nampaknya amat sukar untuk beliau pulih menjelang perlawanan kedua, yang akan menjadi perlawanan akhir buat pasukan.
“Kami berharap Pavard dapat kembali beraksi pada Selasa depan, tetapi malangnya, saya tidak fikir kita boleh mengharapkan perkara yang sama daripada Lautaro.
“Ia akan menjadi perlawanan akhir buat kami dan saya mengharapkan sokongan 75,000 peminat kami untuk membantu kami mencapai kejayaan yang luar biasa ini,” kata Inzaghi.
Bek sayap Belanda, Denzel Dumfries, yang menjaringkan dua gol, merendah diri mengenai fakta bahawa Inter mensia-siakan kelebihan dua gol, membenarkan Barcelona bangkit sebanyak dua kali untuk mengikat kedudukan.
Sebaliknya beliau memuji usaha keras pasukannya, terutamanya selepas mereka mengalami tiga kekalahan berturut-turut di Itali, termasuk dua kekalahan dalam Serie A dan tersingkir daripada Piala Itali kepada musuh tradisi, AC Milan, yang merosakkan musim mereka.
“Saya rasa ia adalah perlawanan yang baik daripada pihak kami. Selepas beberapa keputusan buruk, kami melihat Inter yang sebenar kembali, bermain dengan semangat di padang, dan saya amat berbangga.
“Sudah tentu, kami mahu menang, tetapi ia adalah perlawanan yang baik dan keputusan yang membiarkan pertembungan separuh akhir ini terbuka sepenuhnya.
“Kita akan lihat di San Siro di mana segala-galanya mungkin bagi kami. Kami adalah pasukan yang kuat dan kami perlu membuktikannya dalam setiap perlawanan,” kata Dumfries.