GERGASI Serie A, Inter Milan melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara setelah menjinakkan Bayern Munich, 4-3 secara agregat pada Khamis.
Bagaimanapun kemaraan I Nerazzurri kendalian Simone Inzaghi tidak hadir mudah apabila bekas juara tiga kali itu diikat 2-2 Die Bayern bimbingan Vincent Kompany.
Malah kemenangan 2-1 dilakar Inter ketika bertandang ke Allianz Arena 9 April lalu memudahkan laluan ke atas pasukan pelawat yang berstatus bekas pemenang enam kali berkenaan.
Timbal balik kedua di San Siro, Harry Kane meletakkan Bayern di depan apabila menyamakan kedudukan agregat tujuh minit selepas separuh masa kedua.
Namun enam minit kemudian Lautaro Martinez berjaya menjaringkan gol untuk mengembalikan Inter ke landasan kelompok empat terbaik kejuaraan tertinggi kelab Eropah itu.
Inter kemudian kemudian melebarkan kedudukan agregat ke separuh akhir tiga minit kemudian apabila Benjamin Pavard menanduk masuk bola sepakan penjuru selepas itu.
Namun Bayern yang tidak mengalah memastikan timbal balik kedua sebagai perlawanan terbaik menemukan dua jagoan bola sepak Eropah mendebarkan apabila Eric Dier menjaringkan gol dengan baki 14 minit permainan.
Anak buah Inzaghi selepas itu berjaya bertahan di bawah tekanan hebat pada penghujung perlawanan untuk berdepan gergasi La Liga Sepanyol, Barcelona juga bekas juara lima kali di separuh akhir, dengan pendahulu Serie A itu masih berpeluang untuk melengkapkan treble.
OR