Kuala Lumpur: Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) terus melangkah setapak ke depan apabila memperkenalkan Anugerah Kecemerlangan PR dan Komunikasi untuk Pelajar Terbaik, sekali gus menjadi penanda aras baharu mencari generasi pemimpin komunikasi masa depan.
Anugerah nasional itu bakal diperkenalkan secara rasmi bermula tahun akademik 2026 dan menyasarkan pelajar paling cemerlang daripada universiti yang berdaftar di bawah Persatuan Pelajar IPRM (IPRMSA) di seluruh negara.
Setakat ini, lebih 20 cawangan IPRMSA sudah diwujudkan di universiti awam dan swasta, menjadikan program berkenaan antara inisiatif terbesar IPRM dalam memperkasa bakat muda dalam bidang perhubungan raya.
Menurut IPRM, setiap fakulti akan menamakan seorang pelajar terbaik melalui proses pemilihan dalaman yang telus, sebelum pencalonan itu disahkan oleh Majlis IPRM. Pencalonan pertama akan dibuka secara rasmi pada tahun depan.
Inisiatif itu bukan sekadar pengiktirafan, malah menjadi platform penting untuk membuka laluan kerjaya kepada pelajar menerusi akses rangkaian industri profesional, peluang bimbingan dan peningkatan kredibiliti akademik.
Pelajar yang dipilih akan menikmati pelbagai kelebihan termasuk perhatian daripada agensi, korporat dan organisasi berkaitan kerajaan selain peluang muncul sebagai pemimpin baharu dalam dunia komunikasi.
Bagi memastikan integriti, proses pemilihan akan dikendalikan jawatankuasa pemantau khas membabitkan wakil Majlis IPRM, Malaysian Association for Communication Educators (MACE) serta tokoh industri berpengalaman. Senarai rasmi panel itu akan diumumkan pada Januari 2026.
Pengerusi IPRMSA yang juga Pengarah Pendidikan IPRM, Profesor Madya Dr Nurul Ain Mohd Hasan berkata, anugerah itu bakal menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi pengamal PR yang berwibawa dan beretika.
Selain itu, Pengerusi Lembaga Akreditasi IPRM, Datuk Sri Profesor Dr Syed Arabi Idid pula menyifatkan anugerah itu sebagai usaha menyelaras kemampuan graduan dengan keperluan industri, sekali gus memastikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran sebenar.
Sementara itu, Presiden MACE, Profesor Dr Mohamed Yahya Ariffin menyifatkan anugerah berkenaan sebagai langkah besar dalam mengiktiraf dedikasi pelajar dan pensyarah serta memastikan aliran bakat berkualiti tinggi terus mengisi industri komunikasi negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd






