IPT digesa henti tawar program eksekutif tidak patuh MQF – MQA

IPT digesa henti tawar program eksekutif tidak patuh MQF – MQA


KUALA LUMPUR –  Institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan perlu menghentikan penawaran program eksekutif untuk golongan berkerjaya yang menggunakan nama program seperti dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) untuk peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana, tetapi tidak mendapat akreditasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana IPT untuk menawarkan program eksekutif, namun penawarannya perlu mematuhi peraturan semasa seperti mendapatkan kelulusan daripada pihak berwajib, selain mendapatkan akreditasi serta mematuhi MQF.

Katanya, MQA tidak mahu IPT menawarkan program menggunakan penamaan kelayakan MQF tetapi tidak ada akreditasi kerana tidak mahu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Program ini dijenamakan dengan pelbagai nama antaranya diploma eksekutif, diploma industri, diploma profesional dan banyak lagi.

“Bagaimanapun, terdapat diploma eksekutif, sarjana eksekutif yang diakredit oleh MQA, tetapi bukan semua.

“Masyarakat dinasihatkan untuk menyemak di Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) di alamat www2.mqa.gov.my/mqr/ sebelum memutuskan untuk mengikuti mana-mana program eksekutif atau profesional,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, lepasan program tempatan yang tidak akredit oleh MQA lazimnya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak diyakini oleh pihak majikan kerana akreditasi MQA merupakan satu daripada prasyarat untuk memohon kerja perkhidmatan awam.

Sebaliknya, katanya, pihaknya tiada masalah dengan penawaran program yang memenuhi keperluan MQF menggunakan nama eksekutif, contohnya diploma eksekutif dengan 90 jam kredit atau sarjana eksekutif dengan 40 jam kredit.

“Selain program eksekutif, kini masyarakat Malaysia boleh mengambil peluang mengikuti kursus bersifat micro-credential kerana inilah antara mod pendidikan masa depan terutama untuk tujuan upskilling dan reskilling.

“Selain mempromosikan pendidikan fleksibel yang menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH), inisiatif ini turut membantu melonjakkan imej negara untuk menjadi hab pendidikan global seperti dihasratkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL



Source link

OR

Scroll to Top