am@hmetro.com.my
MESKI sudah lebih lima dekad meninggal dunia karya Tan Sri Datuk Amar Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh atau nama pentasnya, P Ramlee tidak terkubur bahkan menjadi rujukan serta kebanggaan semua generasi.
Menerusi program Hiburan Minggu Ini (HMI) di Radio Televisyen Malaysia (RTM) menampilkan beberapa artis terkenal tanah air menyampaikan lagu-lagu nostalgia sempena Konsert Karya Agung Tan Sri P Ramlee.
Penerbit Unit Hiburan TV RTM, Noorsyahidah Jamsari, berkata konsert berkenaan mengangkat karya agung hasil nukilan Allahyarham P Ramlee melalui lagu-lagu dalam filem yang masih kekal relevan hingga kini.
Katanya, gabungan artis lama dan baharu memberi dimensi baru dalam penyampaian karya-karya nostalgia itu.
“Artis lama yang memiliki pengalaman seni yang mendalam, membawa penghayatan asli karya-karya tersebut.
“Manakala artis baharu pula memberi sentuhan segar dan gaya moden yang lebih relevan selari dengan perkembangan zaman,” katanya dalam satu kenyataan.
Konsert berdurasi selama lebih satu jam 30 minit itu menampilkan gandingan penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir serta cucu P Ramlee yang juga anak kepada Allahyarham Nasir P Ramlee, Najua sebagai pengacara.
Pentas persembahan dibuka dengan persembahan Dina dan Najua yang menyampaikan lagu rancak Malam Pesta Muda Mudi.
Diikuti penampilan artis yang mendapat jolokan mirip P Ramlee iaitu Musly Ramlee sekali gus mendapat sorakan gemuruh penonton dengan persembahan lagu Azizah.
Disamping menyanyi Musly turut menyampaikan beberapa petikan dialog pendek dalam filem popular P Ramlee.
Musly kemudian berduet dengan Rozita Rohaizad menerusi lagu Ingin Tahu. Rozita adalah anak kepada Allahyarham Seniwati Mariani Ismail dan H.M. Rohaizad.
Musly dalam temubual berkata karya agung P Ramlee perlu dihargai, dipuji dan diangkat untuk diperkenalkan kepada generasi seterusnya terutama golongan muda.
Sementara Rozita pula berkata beliau membesar dengan karya bapa dan ibu saudaranya iaitu P Ramlee dan Saloma justeru dia sangat terharu kerana dapat terbabit dalam program itu.
“Tahun 1961 apabila bapa saya meninggal dan pada tahun itu arwah daddy (P Ramlee) dan mama (Saloma) menikah jadi terus jadi macam bapa ‘figure’. Merekalah yang bawa saya berjalan-jalan dan kami sangat rapat.
“Saya sangat bertuah kerana dapat mengenali beliau yang secara peribadi saya lihat seorang yang kacak, segak, berbudi bahasa dan bijak,” kata Rozita yang turut menyanyikan lagu Bila Larut Malam secara solo.
Selain persembahan nyanyian konsert turut diselang seli dengan rakaman temubual bersama selebriti tanah air mengenai pendapat mereka berkenaan karya P Ramlee.
Rata-rata mereka memuji dan mengagungkan karya karyawan berbakat itu.
Penampilan istimewa penyanyi yang dicungkil bakat daripada program realiti nyanyian seperti Daniel Sher dengan lagu Bunyi Gitar dan duet bersama Roshini menerusi lagu Aci Aci Buka Pintu turut menghiburkan penonton.
Roshini juga menyampaikan lagi Tunggu Sekejab secara solo.
Daniel dan Roshini meluahkan rasa bertuah dapat menyanyikan lagu karya P Ramlee dengan kedua-dua sejak kecil mendengar lagu Allahyarham serta mengakui karya beliau seperti masih ‘hidup’.
Kemunculan Azlan Typewriter mendendangkan lagu Sua Sue Kemuning dan Jangan Tinggal Daku diiringi tiupan saksofon menyerlahkan kemampuannya menyanyi dengan lagu pelbagai rentak.
Penonton yang hadir turut berbusana seperti P Ramlee dan Saloma. Dua penonton bertuah yang Terpaling P Ramlee dan Terpaling Saloma turut dipilih dan dijemput naik ke pentas.
Tidak ketinggalan persembahan Haqiem Rusli menyanyikan lagu Getaran Jiwa dan Madu Tiga. Penonton yang hadir turut menyanyi dan menari sepanjang konsert berlangsung.
Lagu Ai Ai Ai pula disampaikan dengan baik oleh Haziq Rosebi.
Diikuti persembahan mengasyikkan Liza Hanim ketika menyampaikan lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti membuatkan penonton terpukau.
Liza kemudiannya bergandingan dengan Azlan menyampaikan lagu Tiada Kata Secantik Bahasa.
Liza turut berduet dengan Haziq menerusi lagu rancak berjudul Gelora.
Konsert diiringi kumpulan muzik diketuai Rusmadi Ramli sebagai Pengarah Muzik.
Pentas persembahan dirancakkan dengan aksi trio Haqiem, Daniel dan Haziq yang menyanyikan lagu Menceceh.
Giliran gandingan Najua, Musly dan Dina pula menyampaikan lagu Yang Mana Satu Idaman Kalbu sebelum persembahan berakhirnya dengan nyanyian bertenaga gandingan Azlan, Rozita, Roshini dan Liza dengan lagu Bila Mama Pakai Celana.
P Ramlee yang dikenali sebagai penyanyi, pelakon, pengarah, pemuzik dan penulis lagu meninggal dunia pada 29 Mei 1973 ketika berusia 45 tahun.
Antara karya agung dan epik yang tidak pernah ditelan zaman pernah dihasilkan beliau antaranya Madu Tiga, Bujang Lapok, Ibu Mertuaku, Anakku Sazali dan banyak lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd