Tehran: Iran bakal memboikot majlis undian Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat (AS) minggu depan sebagai protes terhadap peruntukan visa yang terhad, menurut Persekutuan Bolasepak Iran, hari ini.
Jurucakap persekutuan, Amir Mehdi Alavi dipetik laman sukan Tarafdari sebagai berkata: “Delegasi Iran tidak akan hadir pada majlis undian Piala Dunia berikutan status terkini proses pengeluaran visa untuk delegasi Iran menghadiri majlis itu.”
AS sejak sekian lama mengenakan sekatan visa yang ketat terhadap rakyat Iran atas faktor politik dan keselamatan.
Menurut Alavi, pihak AS meluluskan visa kepada empat anggota delegasi Iran termasuk ketua jurulatih Amir Ghalenoei, namun Presiden Persekutuan Bolasepak Iran, Mehdi Taj, tidak diberi kelulusan.
Beliau menambah keputusan itu dibuat selepas apa yang digambarkan Iran sebagai tindakan ‘tidak bersemangat kesukanan’ oleh pihak berkuasa AS berkaitan majlis undian pada 5 Disember di Washington DC.
“Memandangkan keputusan yang dibuat tidak bersifat kesukanan dan menyimpang daripada proses sukan, delegasi Iran memutuskan untuk tidak menghadiri majlis undian,” katanya.
Persekutuan itu memaklumkan mereka sudah berhubung dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sejak dua hari lalu dan memaklumkan perkara itu kepada Presiden Gianni Infantino serta Setiausaha Agung FIFA.
Menurut laporan Tarafdari, FIFA memberi jaminan akan ‘meneliti isu itu secara serius’.
Alavi bagaimanapun tidak memberikan maklum balas segera terhadap pertanyaan Reuters.
Iran layak ke Piala Dunia pada Mac lalu selepas seri 2-2 menentang Uzbekistan di Tehran, sekali gus mengesahkan penampilan ketujuh dan keempat berturut-turut mereka di pentas dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd





