Iran sedia mudahkan laluan kapal di Selat Hormuz tertakluk syarat

Iran sedia mudahkan laluan kapal di Selat Hormuz tertakluk syarat


London: Iran bersedia memudahkan laluan kapal melalui Selat Hormuz dengan syarat ia diselaraskan dengan pihak berkuasa Iran serta dilaksanakan dengan penuh penghormatan terhadap kedaulatan dan keselamatannya, kata Duta Besar Iran ke Britain Ali Mousavi pada Khamis, lapor Xinhua.

Mousavi yang juga wakil tetap Iran ke Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) berkata demikian dalam temu bual bersama Xinhua di luar Mesyuarat Luar Biasa ke-36 Majlis IMO.

Mesyuarat itu diadakan di sini pada Rabu dan Khamis bagi membincangkan situasi di rantau Teluk, khususnya Selat Hormuz.

Sebagai anggota IMO, Iran menyedari sepenuhnya komitmen dan tanggungjawabnya dalam perkapalan antarabangsa, kata beliau sambil menegaskan bahawa perkara itu perlu dihormati seiring dengan hak Iran termasuk integriti wilayah, kedaulatan negara dan maruahnya.

Selat Hormuz terbuka kepada semua kapal kecuali yang “milik musuh kami,” katanya sambil menambah Iran kekal bersedia untuk memudahkan laluan kapal yang melalui selat itu, namun pengaturan mesti diselaraskan berdasarkan keadaan keselamatan.

“Segala-galanya perlu dimaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan Iran,” katanya sambil menambah keselamatan kapal dan pelaut akan menjadi sebahagian daripada pengaturan tersebut.

Iran akan terus bekerjasama dengan IMO serta pihak berkuasa maritim negara lain bagi memastikan pelayaran antarabangsa lebih selamat dan perlindungan lebih baik kepada pelaut, katanya, sambil menambah Iran mengalu-alukan sebarang inisiatif dan cadangan untuk perkapalan antarabangsa yang lebih selamat.

Beliau berkata, situasi semasa di Selat Hormuz berpunca daripada “pencerobohan dan aktiviti ketenteraan haram terhadap rakyat Iran serta integriti wilayah Iran,” merujuk kepada operasi ketenteraan berterusan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel sejak 28 Februari.

Mousavi turut menyifatkan serangan terhadap infrastruktur tenaga Iran sebagai “melangkaui satu lagi garis merah,” sambil menambah Iran akan mengambil langkah pertahanan sewajarnya dan menganggap sebarang aset AS atau Israel sebagai sasaran sah.

Beliau menegaskan Iran lebih mengutamakan diplomasi dalam menyelesaikan pertikaian.

Mousavi turut menekankan ketahanan dan perpaduan rakyat Iran dalam menghadapi konflik itu, dengan menyatakan negara itu menyaksikan “perpaduan dan solidariti yang sangat penting dan signifikan” sepanjang peperangan.

Beliau berkata sejak konflik bermula, rakyat Iran turun ke jalanan mengecam pihak yang dianggap penceroboh serta mengadakan upacara pengebumian besar-besaran bagi mereka yang terkorban.

Rakyat Iran, dengan sejarah dan tamadun panjang, menunjukkan mereka kekal bersatu apabila berdepan ancaman luar terhadap integriti wilayah dan kedaulatan negara, katanya.

Mengenai implikasi serantau yang lebih luas, beliau memberi amaran bahawa konflik itu adalah “fenomena berbahaya dan sangat buruk serta malapetaka kepada seluruh dunia” yang bukan sahaja menjejaskan Iran tetapi juga negara Teluk jiran, pasaran tenaga global dan keselamatan makanan.

Beliau menggesa negara khususnya di rantau itu supaya mempersoalkan AS dan Israel mengapa mereka memulakan konflik tersebut.

Mousavi turut menggesa masyarakat antarabangsa mengecam apa yang disifatkan sebagai tindakan pencerobohan terhadap Iran serta mengambil langkah bagi mengelakkan perkara itu berulang kerana ia melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa.

Menurut data IMO, sejak tercetusnya konflik, sekurang-kurangnya tujuh pelaut terbunuh dan beberapa lagi cedera parah dalam serangan ke atas kapal dagang di kawasan Selat Hormuz.

Kira-kira 20,000 pelaut masih terkandas di atas kapal di rantau Teluk.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top