Tehran: Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Selasa menyatakan bahawa Iran bersedia menamatkan perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, tetapi menekankan bahawa Tehran menuntut jaminan supaya konflik itu tidak berulang.
Kenyataan ketua negara yang sedikit melegakan pasaran saham di AS itu dibuat sehari selepas serangan hebat melanda Iran dan susulan amaran keras daripada Kor Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
IRGC mengancam akan membalas dendam terhadap firma teknologi terkemuka AS seperti Google, Meta dan Apple bermula Rabu, jika lebih ramai pemimpin Iran terkorban dalam apa yang digelar sebagai “pembunuhan terancang.”
Pasukan itu mendakwa 18 syarikat termasuk Intel, Tesla dan firma analitik Palantir, bersubahat dalam pembunuhan sebelum ini serta memberi amaran bahawa unit berkaitan syarikat terbabit akan dimusnahkan sebagai balasan bagi setiap kematian di Iran.
Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melancarkan operasi ketenteraan pada 28 Februari lalu yang mengorbankan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan mencetuskan gelombang serangan balas di seluruh wilayah berkenaan.
Sejak itu, Trump menunjukkan pendirian tidak menentu sama ada Washington akan meningkatkan skala perang dengan mengerahkan pasukan darat AS, atau cuba menamatkannya melalui rundingan.
Pezeshkian dalam panggilan telefon dengan Presiden Majlis Eropah menegaskan bahawa Iran mempunyai kemahuan menamatkan konflik dengan syarat-syarat penting dipenuhi terutamanya jaminan bagi mengelak pengulangan pencerobohan.
Sebagai maklum balas kepada cadangan 15 perkara AS untuk menamatkan perang minggu lalu, Tehran mengemukakan cadangan balas yang menuntut mekanisme jaminan bahawa Israel dan AS tidak akan kembali melancarkan perang.
Ketua Pentagon, Pete Hegseth, ketika bercakap selepas melawat tentera AS di Timur Tengah, berikrar bahawa hari-hari mendatang akan menjadi penentu sambil mendakwa Iran hampir tidak mempunyai kemampuan untuk bertindak balas secara ketenteraan.
Trump pada Isnin mengancam bahawa sekiranya Iran tidak bersetuju dengan perjanjian, tentera AS akan “melenyapkan” semua telaga minyak, terminal eksport utama di Pulau Kharg, dan berkemungkinan loji penyahgaraman air.
Pada Selasa, serangan hebat melanda Iran termasuk di bandar Isfahan dan Tehran, di mana wartawan AFP mendengar bunyi letupan serta melihat sistem pertahanan udara diaktifkan.
Media rasmi Iran turut melaporkan kerosakan pada pusat keagamaan Syiah di Zanjan, manakala kerajaan menyatakan serangan udara turut mengenai kilang pembuatan ubat kanser dan bius. Namun, dakwaan itu tidak dapat disahkan secara bebas oleh AFP.
Dalam pada itu, harga purata petrol di pam AS melonjak melepasi AS$4 (kira-kira RM18.90) segelen iaitu paras tertinggi dalam tempoh hampir empat tahun, susulan sekatan berterusan di laluan strategik Selat Hormuz.
© New Straits Times Press (M) Bhd





