Iran siap sedia bertindak balas selepas serangan AS-Israel ke atas syarikat keluli

Iran siap sedia bertindak balas selepas serangan AS-Israel ke atas syarikat keluli


Tehran: Iran Sedang bersiap sedia untuk bertindak balas terhadap serangan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas dua syarikat keluli terbesarnya, yang mengorbankan sekurang-kurangnya seorang pekerja dan mencederakan beberapa yang lain pada Jumaat, lapor Tehran Times.

Pada sebelah petang, sebahagian daripada kilang keluli Mobarakeh di Wilayah Esfahan, tengah Iran, serta Syarikat Industri Keluli Khuzestan di selatan negara itu dilaporkan terkena serangan AS-Israel.

Pekerja berada di kedua-dua lokasi ketika serangan berlaku.

Perkhidmatan kecemasan segera dikerahkan dan jumlah mangsa dijangka meningkat.

Kedua-dua pihak itu juga menyerang kemudahan reaktor penyelidikan air berat di Khondab, tengah Iran serta loji pengeluaran “yellowcake” di Yazd pada hari sama.

Sejurus selepas gelombang serangan terbaharu itu, Jabatan Perhubungan Awam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengeluarkan amaran keras kepada syarikat industri Amerika dan industri berat berkaitan dengan Israel yang beroperasi di rantau itu agar segera mengosongkan tempat kerja mereka.

Dalam satu kenyataan, IRGC mengumumkan yang operasi tindak balas sedang dijalankan susulan beberapa serangan ke atas pusat industri Iran. Kenyataan itu menegaskan yang serangan itu berlaku walaupun amaran sebelum ini diberikan agar tidak menyasarkan infrastruktur industri Iran.

IRGC memberi amaran yang “semua pekerja yang bekerja untuk syarikat yang mempunyai pemegang saham Amerika, serta industri berat yang bersekutu dengan rejim Zionis, agar mengosongkan tempat kerja mereka tanpa berlengah bagi memastikan keselamatan mereka.”

Amaran itu turut meliputi penduduk yang tinggal dalam radius satu kilometer dari kemudahan industri berkenaan agar meninggalkan kediaman mereka sehingga serangan balas selesai. Ini menandakan peningkatan ketara dalam konflik.

Amerika Syarikat dan Israel menyifatkan kempen mereka sebagai usaha untuk menghalang Iran daripada membangunkan senjata nuklear, namun sejak perang bermula pada 28 Februari, sasaran turut melibatkan, infrastruktur tenaga dan bangunan kediaman industri negara itu.

Kali terakhir kedua-dua pihak menyerang sasaran strategik, Iran bertindak balas dengan serangan besar ke atas lokasi yang berkaitan dengan AS dan Israel di rantau itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top