Iran tak mampu tutup Selat Hormuz 100 peratus – Pakar

Iran tak mampu tutup Selat Hormuz 100 peratus – Pakar


H: Iran tak mampu tutup Selat Hormuz 100 peratus – Pakar

Amir Abd Hamid

amir_hamid@mediaprima.com.my

Gambar hiasan Selat Hormuz

Kuala Lumpur: Tindakan Iran merancang untuk menutup Selat Hormuz susulan konflik semakin memuncak dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS) boleh mengundang kesan global, terutama kepada negara-negara yang bergantung kepada laluan itu bagi bekalan minyak mereka.

Pakar geostrategi, Dr Azmi Hassan berkata, walaupun cadangan penutupan Selat Hormuz diluluskan oleh Parlimen Iran, keputusan muktamad hanya boleh dibuat oleh kepimpinan tertinggi negara itu, termasuk Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Menurutnya, Selat Hormuz yang terletak di antara Iran dan Oman menyumbang hampir 30 peratus kepada keseluruhan laluan eksport minyak dunia dan menjadi nadi penting kepada negara Asia seperti China, India, Korea Selatan dan Jepun.

“China sahaja menerima 80 peratus bekalan minyaknya melalui Selat Hormuz. Walaupun Malaysia tidak terlalu bergantung kepada laluan ini, sebarang gangguan tetap memberi kesan kerana harga minyak dunia akan melonjak naik.

“Tetapi saya percaya Iran tidak akan menutup sepenuhnya Selat Hormuz kerana ia akan memburukkan hubungan mereka dengan sekutu seperti China yang turut bergantung kepada laluan ini.

“Malah, Iran tidak akan mendapat kelebihan sekiranya tindakan itu mengundang kemarahan rakan-rakannya sendiri,” katanya.

Sementara itu, pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Salawati Mat Basir berkata, dari sudut perundangan antarabangsa, Iran tidak mempunyai hak sepenuhnya untuk menutup laluan itu.

Menurutnya, Selat Hormuz turut bersempadan dengan Oman dan sebahagian besar kawasan yang ingin ditutup itu bukan milik Iran sepenuhnya.

“Selat Hormuz bukan 100 peratus hak Iran. Kalau dia nak tutup pun, dia hanya boleh tutup kawasan yang berada dalam lingkungan 200 batu nautika miliknya, baki kawasan lain adalah di bawah hak Oman.

“Kapal dagang masih boleh lalu di laluan Oman, cuma akan lebih sesak. Lagipun, berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), Iran tidak boleh menghalang hak laluan transit di selat antarabangsa,” katanya.

Katanya, AS mungkin tidak terlalu terkesan jika Selat Hormuz ditutup kerana negara itu mempunyai sumber minyak sendiri, namun tindakan terbabit boleh menjejaskan negara-negara yang menyokong Iran, terutama dari Asia.

“Kalau Iran teruskan juga, mereka mungkin akan menjadi seperti ‘menembak kaki sendiri’ atau hanya memburukkan keadaan Iran itu sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top