Iran tersingkir 'bermaruah'

Iran tersingkir 'bermaruah'

Iran tersingkir 'bermaruah'


Tehran: Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei memuji pasukan bola sepak kebangsaan negaranya kerana menunjukkan semangat juang tinggi pada Piala Dunia 2026 meskipun berdepan tekanan yang disifatkannya sebagai ‘tidak berperikemanusiaan.’

Baghaei menerusi kenyataan di platform X pada Sabtu memuji persembahan skuad Iran yang seri dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan tetapi gagal mara ke pusingan kalah mati.

“Tahniah kepada pasukan bola sepak kebangsaan Iran yang bersatu sebagai satu pasukan, mengejar ‘gol’ dan tidak membenarkan tekanan tidak berperikemanusiaan serta luar biasa menghalang mereka daripada terus ‘berlari’,” tulis Baghaei.

“Pada saat tekanan, pemikiran sempit, diskriminasi dan pelbagai sekatan menjadikan perjuangan semakin sukar, pasukan kebangsaan Iran membuktikan bahawa kemenangan sebenar adalah mengatasi mentaliti menyerah kalah dan putus asa,” katanya.

Baghaei menambah bahawa pasukan itu berjaya menentang segala kesukaran dengan keberanian dan ketabahan.

“Segala keterbatasan tidak dijadikan alasan dan tekanan tidak membuatkan mereka menyerah. Mereka berani mengambil risiko, terus berlari dan sehingga wisel penamat. Mereka mengekalkan harapan serta semangat di atas padang dengan karakter dan sikap rakyat Iran,” katanya.

Menurut beliau, sumbangan terbesar pasukan itu kepada rakyat Iran jauh melangkaui keputusan di atas padang.

“Mungkin lebih penting daripada keputusan perlawanan ialah apa yang mereka berikan kepada kami sepanjang tempoh ini iaitu semangat, keterujaan, senyuman dan yang paling utama, peringatan bahawa kita semua mempunyai satu ikatan yang tidak dapat dipisahkan, permata yang amat kita cintai iaitu tanah air bernama Iran,” katanya.

Kempen Iran di Piala Dunia kali ini dibayangi ketegangan politik dan pelbagai kekangan logistik.

Menurut laporan Press TV, pasukan itu terpaksa memindahkan pusat latihan mereka dari Arizona ke Tijuana, Mexico selepas isu visa Amerika Syarikat (AS) menjejaskan beberapa pegawai persekutuan serta kakitangan sokongan.

Di bawah syarat visa yang dikenakan, pemain dan pegawai Iran hanya dibenarkan memasuki Amerika Syarikat sehari sebelum perlawanan dan perlu meninggalkan negara itu pada hari yang sama selepas aksi berakhir.

Iran turut mengemukakan aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung sekatan perjalanan terbabit.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, pasukan itu tetap mempamerkan prestasi membanggakan sepanjang kejohanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top