Geneva: Iran pada Jumaat menegaskan tidak akan menyambung semula rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS) sehingga Israel menghentikan serangannya, ketika ketua tentera Israel memberi amaran perang yang sudah seminggu berlarutan akan berpanjangan.
Beberapa siri letupan kedengaran di Tehran pada Jumaat ketika agensi berita Fars Iran berkata, pertahanan udara sudah diaktifkan, tatkala Israel meneruskan bedilan dan Iran melancarkan peluru berpandu ke arah musuh ketatnya itu.
“Kita mesti bersedia untuk kempen berpanjangan,” kata ketua tentera Israel Eyal Zamir kepada rakyat Israel dalam satu kenyataan video, lapan hari selepas negaranya melancarkan gelombang serangan besar-besaran yang menurutnya bertujuan menghentikan Iran daripada membangunkan senjata nuklear, satu cita-cita yang dinafikan Tehran.
“Kempen ini belum berakhir. Walaupun kami sudah mencapai pencapaian signifikan, hari-hari sukar masih menanti,” katanya.
Ketika Presiden AS Donald Trump mempertimbangkan prospek untuk menyertai perang antara kedua-dua musuh itu, diplomat tertinggi dari Britain, Perancis dan Jerman bertemu rakan sejawatan mereka dari Iran, Abbas Araghchi di Geneva.
Merujuk kepada rundingan nuklear dengan Washington yang terjejas akibat perang, Araghchi berkata, selepas pertemuan itu bahawa “Iran bersedia untuk mempertimbangkan diplomasi sekali lagi apabila pencerobohan dihentikan.”
Tehran menyokong penerusan perbincangan dengan negara-negara Eropah dan bersedia untuk bertemu semula dalam masa terdekat, kata Araghchi kepada wartawan.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot berkata, “kami menjemput menteri Iran untuk mempertimbangkan rundingan dengan semua pihak, termasuk Amerika Syarikat, tanpa menunggu penghentian serangan, yang kami juga harapkan.”
Barrot berkata, tiada penyelesaian muktamad melalui cara ketenteraan untuk masalah nuklear Iran dan memberi amaran bahawa berbahaya untuk mahu mengenakan perubahan rejim di Iran, selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu tidak menolak kemungkinan membunuh pemimpin agung Ayatollah Ali Khamenei.
Di jalan-jalan Tehran, kebanyakan kedai ditutup dan pasar yang biasanya sibuk sebahagian besarnya lengang pada Jumaat, lapor seorang wartawan AFP.
“Saya tidak takut dengan perang, saya tetap buka tetapi perniagaan sangat teruk,” kata seorang penjual di pasar Tajrish yang enggan mendedahkan namanya atas sebab keselamatan.
Berdekatan, polis menubuhkan pusat pemeriksaan sementara pekerja membaiki jalan yang rosak dalam serangan Israel baru-baru ini.
Sejak Israel melancarkan serangannya pada 13 Jun, menyasarkan tapak nuklear dan tentera tetapi juga mengenai kawasan perumahan, Iran membalas dengan bedilan yang menurut pihak berkuasa Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang.
Sebuah hospital di pelabuhan Haifa, Israel melaporkan 19 cedera, termasuk seorang dalam keadaan serius, selepas serangan terbaru Iran.
Lebih daripada 450 peluru berpandu sudah ditembak ke negara itu setakat ini, bersama kira-kira 400 dron, menurut Direktorat Diplomasi Awam Kebangsaan Israel.
Iran pada Ahad berkata, serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 224 orang, termasuk komander tentera, saintis nuklear dan orang awam. Ia tidak mengemas kini jumlah itu sejak itu.
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di AS, Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia, menyediakan jumlah pada Jumaat berdasarkan sumber dan laporan media, mengatakan sekurang-kurangnya 657 orang terbunuh di Iran, termasuk 263 orang awam.
Tentera Israel berkata, mereka menyerang pelancar peluru berpandu di barat daya Iran selepas serangan udara semalaman ke atas puluhan sasaran termasuk pusat penyelidikan nuklear.
Di Israel, siren berbunyi pada sebelah petang selepas peluru berpandu dilancarkan dari Iran untuk kali kedua pada Jumaat. Pengawal Revolusi Iran berkata, mereka menyasarkan tapak tentera dan pangkalan tentera udara.
Trump pada Khamis berkata, beliau akan memutuskan dalam tempoh dua minggu akan datang sama ada akan melibatkan Amerika Syarikat dalam pertempuran itu.
Seorang pegawai Tentera Laut AS pada Jumaat berkata, sebuah kapal pengangkut pesawat akan digerakkan lebih dekat ke Timur Tengah minggu depan, menjadikannya kapal ketiga di dalam atau berhampiran wilayah itu.
“Ini adalah saat yang berbahaya, dan sangat penting supaya kita tidak melihat peningkatan konflik serantau ini,” kata Setiausaha Luar Britain David Lammy, yang sebelum ini menyatakan “Iran tidak boleh membangunkan atau memperoleh senjata nuklear.”
Kerajaan Barat mengesyaki Iran mencari keupayaan senjata nuklear.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa berkata, walaupun Iran adalah satu-satunya negara tanpa senjata nuklear yang memperkaya uranium kepada 60 peratus, tiada bukti ia mempunyai semua komponen untuk membuat kepala peledak nuklear yang berfungsi.
“Jadi, mengatakan berapa lama masa yang diperlukan untuk mereka, itu adalah spekulasi semata-mata kerana kami tidak tahu sama ada ada seseorang… secara rahsia meneruskan aktiviti ini,” kata ketua agensi itu Rafael Grossi kepada CNN.
“Kami tidak melihatnya dan kami harus mengatakannya.”
Dalam temu bual dengan penerbitan Jerman, Bild, diplomat tertinggi Israel Gideon Saar berkata beliau tidak sama sekali percaya pada diplomasi dengan Iran.
“Semua usaha diplomatik setakat ini gagal,” kata Saar, yang negaranya menyokong keputusan Trump pada 2018 untuk meninggalkan perjanjian nuklear sebelumnya antara Iran dan kuasa dunia.
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan memberi amaran konfrontasi yang memuncak ini semakin menghampiri titik tanpa jalan kembali, sambil menegaskan bahawa “kegilaan ini mesti dihentikan secepat mungkin.”
Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres sementara itu merayu kepada semua pihak untuk memberi peluang kepada keamanan.
Sebarang pembabitan AS dalam kempen Israel dijangka melibatkan pengeboman kemudahan pengayaan uranium bawah tanah di Fordo, menggunakan bom pemusnah bunker yang kuat yang tidak dimiliki oleh negara lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd