Philadelphia: Jurulatih Iraq, Graham Arnold berjanji pasukannya tidak akan sekadar bertahan apabila berdepan pilihan kejohanan, Perancis, dalam aksi Kumpulan I Piala Dunia, awal pagi esok.
Pengendali kelahiran Australia itu berkata, beliau sentiasa menurunkan pasukan dengan misi memburu kemenangan dan bukannya sekadar mengelak kekalahan.
“Saya sentiasa menjadi jurulatih yang mahu menang dan bukan sekadar tidak kalah.
“Apabila anda mempunyai mentaliti seperti itu, ada hari yang mungkin tidak menjadi, tetapi banyak hari yang akan memberikan hasil positif.
“Kami akan turun dengan keyakinan dan harapan untuk menang dan ia memberikan pemain satu pemikiran yang baik,” katanya.
Iraq yang berada di ranking ke-57 dunia membuat penampilan pertama di Piala Dunia sejak 1986 selepas mengharungi kempen kelayakan yang panjang dengan 21 perlawanan termasuk aksi playoff antara benua di Mexico pada Mac lalu.
Namun, permulaan mereka di Amerika Syarikat tidak berjalan lancar apabila dibelasah Norway 4-1 dalam aksi pertama di Boston.
Kini, Singa Mesopotamia berdepan cabaran lebih besar apabila perlu mengekang jentera serangan Perancis yang diketuai kapten Kylian Mbappe, yang meledak dua gol ketika Les Bleus menewaskan Senegal 3-1 dalam perlawanan pembukaan.
“Saya ada bertanya sama ada kami boleh menurunkan tiga penjaga gol, tetapi mereka kata tidak,” katanya berseloroh ketika ditanya mengenai cara mengekang ancaman Perancis.
“Mereka mempunyai pemain yang luar biasa dan ia satu penghormatan untuk berdepan mereka, tetapi fokus kami adalah terhadap prestasi sendiri.
“Kami memastikan pemain benar-benar bersedia untuk turun dan menunjukkan kepada dunia kemampuan mereka,” katanya.
Arnold turut mendedahkan dia masih belum membuat keputusan sama ada kapten Jalal Hassan akan terus diberi kepercayaan mengawal gawang, namun pemain sayap Ali Jasim sudah pulih dan bersedia diturunkan selepas mengalami masalah ketika aksi menentang Norway.
Jurulatih berusia 62 tahun itu juga tidak sabar untuk menguji kemampuan menentang Didier Deschamps yang akan mengakhiri tugas bersama Perancis selepas 14 tahun sebaik Piala Dunia berakhir.
“Dia jurulatih yang hebat dan mencapai banyak kejayaan bersama Perancis.
“Anda dapat lihat semua pemain menyayanginya dan cara mereka memberikan reaksi terhadapnya. Itu pasti menjadi motivasi buat Perancis untuk melakukan sesuatu yang istimewa pada Piala Dunia terakhirnya.
“Secara keseluruhannya, dia melakukan tugas yang luar biasa dan seorang insan yang hebat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






