Irazabal sah sertai JDT

Irazabal sah sertai JDT


PEMAIN warisan negara, Jon Irazabal, akhirnya menamatkan spekulasi mengenai masa depannya apabila diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan Asia.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran video di laman media sosial rasmi Harimau Selatan yang memaparkan pemain pertahanan berusia 28 tahun itu mengenakan jersi pasukan dan bakal memakai nombor 17.

“Hanya satu destinasi utama dalam bola sepak Malaysia — Johor Darul Ta’zim. Selamat datang, Jon Irazabal!” tulis JDT menerusi laman Facebook rasmi, Johor Southern Tigers.

Nama Irazabal hangat dikaitkan dengan perpindahan ke JDT selepas tidak lagi bersama kelab lamanya di Liga Azerbaijan, Sabah FK, berikutan kontraknya yang telah tamat.

Sepanjang bersama Sabah FK sejak tahun 2022, pemain kelahiran Sepanyol itu tampil cemerlang dengan merekodkan 98 penampilan dan menjadi tonggak utama barisan pertahanan pasukan tersebut.

Kehadiran Irazabal dijangka memperkukuh benteng pertahanan skuad kendalian Xisco Munoz yang sedang giat mempersiapkan pasukan menjelang musim baharu.

Sebelum ini, Irazabal turut mencuri tumpuan apabila melakukan penampilan sulung bersama pasukan kebangsaan Harimau Malaya dan memberikan impak positif dalam kemenangan 4-0 ke atas Vietnam dalam aksi Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.



Source link

OR

Scroll to Top