KRW FC memilih untuk mengekalkan Irfan Bakti Abu Salim sebagai ketua jurulatih pasukan
KELAB bola sepak Kelantan Red Warrior (KRW FC) memilih untuk mengekalkan Irfan Bakti Abu Salim sebagai ketua jurulatih pasukan susulan persembahan baik dalam saingan Liga A1 Semi Pro lalu.
KRW FC dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan langkah itu sekali gus membuka ruang kepada pengendali berusia 75 tahun itu membina skuad terbaik untuk bersaing dengan kelab lain pada masa akan datang.
“Kami juga yakin dengan kemampuan jurulatih berpengalaman ini dapat membawa KRW ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam saingan Liga A Semi Pro lalu, KRW berjaya menamatkan saingan di kedudukan ke empat liga daripada 13 pasukan yang bertanding.
Kedudukan baik itu dijangka turut memberi peluang cerah untuk pasukan ke Liga Super sekiranya mendapat kelulusan dan melalui pelesenan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).






