JAGUH lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin teruja menyertai Kejohanan Olahraga Asia (ATF) 2025 yang akan berlangsung di Gumi, Korea Selatan dari 27 hingga 31 Mei ini.
Atlet berusia 29 tahun itu kini giat menjalani latihan rapi dengan memberi tumpuan kepada aspek teknikal dan pengukuhan daya letupan bagi memastikan prestasi terbaik ketika turun ke gelanggang.
“Setakat ini, saya kekal dengan rutin latihan sedia ada. Fokus utama adalah untuk memperkemas teknik serta meningkatkan kekuatan lemparan. Diharap semuanya berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan sebelum kejohanan,” katanya.
Irfan juga memilih pendekatan lebih tenang kali ini dengan tidak meletakkan tekanan berlebihan ke atas dirinya.
“Saya mahu memberikan 110 peratus dan menikmati setiap detik kejohanan ini. Yang penting, saya tampil dengan semangat dan keyakinan tanpa rasa terbeban,” jelasnya.
Untuk rekod, Irfan menyumbang satu-satunya pingat negara pada edisi 2023 di Bangkok, Thailand apabila meraih gangsa menerusi catatan 59.63 meter (m).
Pencapaian terbaiknya di pentas ATF pula hadir pada edisi 2017 di Bhubaneswar, India, selepas membawa pulang pingat perak dengan balingan sejauh 60.96m.