am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi K-Pop pertama dari Malaysia, Isaac Voo, 31, tampil dengan bingkisan lagu raya berjudul Raya Bounce sekali gus merancakkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.
Sebagai kelainan, Isaac juga berkolaborasi dengan artis baharu tempatan, Lucky Nerds menerusi lagu raya yang juga single terbaharunya itu.
Bagi menghangatkan lagi Muzik Video (MV) Raya Bounce, Isaac juga menampilkan penyanyi veteran yang popular pada era 1980-an, Herman Tino dan pempengaruh, model dan pelakon sensasi, Ms Puiyi.
Isaac yang juga anggota kumpulan IN2IT berkata, dia juga sangat teruja dengan kemunculan single terbaharunya untuk peminat itu.
“Projek ini adalah cara saya membawa sesuatu yang segar dalam industri muzik Malaysia.
“Saya mahu orang ramai menari, ketawa, dan menyemarakkan semangat raya dengan cara yang lebih menyeronokkan.
“Walaupun anda tak dapat balik kampung, kita tetap boleh beraya dan bergembira di mana sahaja kita berada,” kata penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu.
Sementara itu, Ketua Perniagaan Domestik WebTVAsia dan penerbit muzik video Raya Bounce, Suzana Sukaimi berkata, raya berkisar mengenai kegembiraan, kasih sayang, dan kebersamaan yang melangkaui lokasi.
“Sama ada di kota yang sibuk atau di kampung yang tenang bersama keluarga atau rakan, semangat Raya tetap menyatukan kita semua.
“Kepelbagaian budaya di Malaysia mencerminkan semangat ini, di mana setiap cara sambutan, tidak kira bagaimana ia diraikan, menyumbang kepada keindahan perpaduan yang kita kongsi bersama,” katanya.
Raya Bounce dijangka tular di TikTok dan Instagram Reels menerusi “Raya Bounce Challenge”, yang mengajak peminat untuk mempamerkan gerak tari kreatif atau video transisi kreatif gaya raya.
Raya Bounce kini boleh didengari di semua platform penstriman dan muzik video rasmi pula ditayangkan di saluran YouTube WebTVAsia.
© New Straits Times Press (M) Bhd