KUALA LUMPUR: Penyanyi dan idola muda, Isaac Wu atau Wu Kai Ming berkongsi keterujaannya apabila berpeluang menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) baru-baru ini.
Katanya, penyertaan ke PLKN bukan sekadar untuk bersuka-suka sebaliknya mahu mengajar diri tentang disiplin dan semangat berpasukan denganr akan peserta lain.
“Ia ajar kita tentang disiplin, semangat berpasukan dan yang paling penting, semangat cintakan negara.
“Walaupun hanya sekejap, 45 hari tetapi pengalaman yang kita dapat memang berbeza. Ia boleh ubah cara kita berfikir tentang negara dan tanggungjawab,” katanya.
Mengulas tentang isu patriotisme, Isaac meluahkan rasa bimbang melihat ramai anak muda hari ini tidak tahu tentang sejarah tanah air atau menyanyikan lagu-lagu kebangsaan.
“Ramai generasi baru kurang pengetahuan tentang Malaysia. Kita kena tahu asal usul sendiri. Jangan bangga jadi rakyat Malaysia kalau tak kenal negara sendiri,” ujarnya.
Berkongsi tentang perkembangan seni, Isaac memaklumkan walaupun dia aktif dengan aktiviti solo di Malaysia namun dia juga tidak menolak untuk kembali ke Korea jika ada peluang.
“Sekarang saya aktif di sini dulu. Ramai peminat di Korea suruh saya balik. Kalau ada projek, saya akan terbang ke sana,” katanya.
Isaac turut bangga dengan kejayaan artis Malaysia yang berjaya debut di Korea termasuk peserta wanita yang kini mencipta nama dalam industri K-pop.
“Saya tak kenal dia secara peribadi tapi saya ucapkan tahniah. Bukan senang nak tembus pasaran Korea. Saya harap lebih ramai anak Malaysia ikut jejak langkah dia,” katanya.
Sebagai bekas peserta Big Stage, Isaac mengakui kagum dengan bakat-bakat baharu yang semakin menyerlah di pentas hiburan tempatan.
“Saya tengok peserta baru sangat berbakat. Mereka boleh menyanyi dalam masa yang sama juga ada bakat menari,” tambahnya.-UTUSAN