Isak menandatangan kontrak enam tahun bersama Liverpool. Foto LIVERPOOL FC
PENYERANG Liverpool, Alexander Isak berikrar mahu mencipta sejarah bersama juara Liga Perdana Inggeris itu selepas akhirnya melengkapkan perpindahan rekod British £125 juta (RM715 juta) dari Newcastle pada Isnin.
Isak menandatangani kontrak selama enam tahun bersama The Reds selepas kelab tersebut berjaya meyakinkan Newcastle menerima tawaran menjelang tarikh tutup jendela perpindahan.
Kehadiran penyerang berusia 25 tahun itu di Anfield itu meningkatkan lagi jangkaan bahawa Liverpool bakal memasuki era dominan dan Isak bersedia memikul tanggungjawab tersebut.
“Saya rasa ia gabungan apa yang kelab sedang bina, ditambah pula dengan sejarah besar kelab ini. Bila saya diberi peluang menjadi sebahagian daripadanya, saya mahu cipta sejarah.
“Saya mahu menjulang trofi kerana itulah motivasi terbesar saya. Saya percaya ini tempat terbaik untuk saya berkembang, bawa permainan saya ke tahap lebih tinggi dan pada masa sama membantu pasukan,” katanya.
Sebelum ini, tawaran awal £110 juta daripada skuad bimbingan Arne Slot ditolak Newcastle pada Ogos lalu namun tekad Isak untuk berpindah akhirnya membuahkan hasil selepas episod perpindahan itu semakin tegang.
Isak turut memaklumkan kepada Newcastle bahawa dia mahu meninggalkan kelab tersebut dan memilih berlatih sendirian di bekas kelabnya, Real Sociedad berbanding menyertai skuad kendalian Eddie Howe.
Dia juga tidak dibawa dalam siri jelajah pramusim ke Asia kononnya akibat kecederaan paha malah mendakwa pengurusan Magpies mungkir janji untuk membenarkannya berpindah sekiranya ada tawaran sesuai daripada kelab besar.
Howe sebelum ini berulang kali menyuarakan hasrat mengekalkan Isak yang menjaringkan 27 gol dalam 42 penampilan musim lalu termasuk membantu kelab itu menamatkan penantian 56 tahun tanpa trofi menerusi kemenangan final Piala Liga menentang Liverpool.
Namun, langkah Newcastle mendapatkan penyerang Stuttgart, Nick Woltemade pada Sabtu lalu membuka jalan buat Isak merealisasikan perpindahan idamannya ke Anfield.
“Ia memang satu musim panas yang panjang, tetapi saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Sekarang semuanya sudah selesai, saya boleh kembali melakukan perkara yang saya paling gemari. Saya tidak sabar dan saya mahu memenangi segala-galanya,” ujar Isak.