London: Alexander Isak kembali berada dalam skuad Liverpool bagi aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi esok, selepas pulih daripada kecederaan panjang.
Penyerang Sweden itu hanya membuat 16 penampilan bersama Liverpool sejak menyertai kelab berkenaan dari Newcastle tahun lalu menerusi perpindahan termahal Britain, susulan beberapa masalah kecergasan yang membelenggunya.
Pada Disember lalu, Isak mengalami kecederaan ketika menerima terjahan pemain Tottenham Hotspur, Micky van de Ven, sewaktu menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan 2-1 ke atas Spurs.
Kecederaan itu memaksanya menjalani pembedahan pada buku lali yang turut membabitkan keretakan fibula.
Selepas 15 minggu berehat, pemain berusia 26 tahun itu akhirnya kembali bersedia untuk disenaraikan semula dalam skuad Liverpool.
“Alexander Isak adalah antara pemain yang berlepas dari Lapangan Terbang John Lennon ke Paris petang ini menjelang aksi suku akhir pertama di Parc des Princes,” menurut kenyataan Liverpool di laman sesawang rasmi kelab.
Isak kembali menjalani latihan berkumpulan Khamis lalu dan sekali lagi berlatih bersama rakan sepasukan pada pagi Selasa sebelum berlepas ke Perancis.
Kehadirannya dalam skuad 21 pemain ke Paris pastinya menjadi suntikan besar buat pengendali Liverpool, Arne Slot yang kini tertekan selepas pasukannya dibelasah 4-0 oleh Manchester City dalam aksi suku akhir Piala FA, Sabtu lalu.
Liverpool ketika ini menghuni tangga kelima Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara menjadi satu-satunya harapan mereka untuk menamatkan musim dengan trofi.
Lebih menarik, pertemuan kali ini turut mengimbau kenangan pahit buat The Reds yang disingkirkan PSG menerusi penentuan penalti pada pusingan 16 terbaik musim lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd





