London: Legenda Newcastle United, Alan Shearer menganggap penyerang Sweden, Alexander Isak sengaja mencurah ‘minyak dalam api’ dalam pertikaian dengan kelab selepas mendakwa The Magpies gagal menunaikan janji terhadapnya.
Isak, 25, yang muncul penjaring kedua terbanyak Liga Perdana Inggeris musim lalu, tidak diturunkan dalam aksi pramusim mahupun perlawanan pembukaan liga apabila Newcastle seri tanpa jaringan menentang Aston Villa, Sabtu lalu.
Liverpool dilaporkan sudah mengemukakan bidaan 110 juta pound (RM680 juta) untuk mendapatkan khidmat Isak namun ditolak, dengan Newcastle dikatakan hanya sedia melepaskan bintang itu pada harga rekod Britain sekitar 150 juta pound (RM928 juta).
Dalam satu kenyataan Selasa lalu, Isak yang enggan hadir ke majlis Anugerah Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) biarpun tersenarai dalam Kesebelasan Terbaik EPL 2024/25, meluahkan kekecewaan terhadap kelab.
“Realitinya, janji sudah dibuat dan kelab tahu pendirian saya sejak lama. Bila janji dimungkiri dan kepercayaan hilang, hubungan ini tidak boleh diteruskan lagi,” kata Isak.
Namun Shearer, bekas kapten dan pengurus Newcastle, menyifatkan situasi itu sebagai satu kekecohan besar serta menyalahkan ejen Isak, Vlado Lemic kerana gagal menjaga kepentingan pemainnya.
“Kalau saya jadi dia, saya akan pecat ejennya serta-merta. Dia sepatutnya memberi nasihat sebelum Isak menandatangani kontrak enam tahun tanpa klausa keluar. Mengarut betul,” kata Shearer kepada Betfair.
Shearer turut menegaskan tindakan Isak mengeluarkan kenyataan hanya mengeruhkan keadaan dan tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Difahamkan, Isak dijanjikan kontrak baharu namun Newcastle terpaksa tangguh demi mematuhi peraturan kewangan liga.
Kelab itu dalam satu kenyataan lewat malam Selasa menyatakan rasa terkilan dengan kenyataan Isak tetapi masih membuka pintu untuknya kembali ke skuad utama.
Sejak menyertai Newcastle dari Real Sociedad pada 2022, Isak meledak 62 gol dalam 109 penampilan termasuk gol kemenangan menentang Liverpool di final Piala Liga awal tahun ini yang menamatkan penantian 70 tahun kelab itu meraih trofi domestik.
Liverpool pula dilapor sudah membelanjakan kira-kira 300 juta pound (RM1.8 bilion) musim panas ini selepas kehilangan Luis Diaz, Darwin Nunez serta penyerang Portugal, Diogo Jota yang meninggal dunia secara tragis.
Perpindahan Isak dijangka tidak sempat dimuktamadkan sebelum kedua-dua pasukan bertemu di St James’ Park, Isnin depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd