Isco kembali perkuat Sepanyol selepas enam tahun tidak tersenarai

Isco kembali perkuat Sepanyol selepas enam tahun tidak tersenarai


Madrid: Bintang tengah Real Betis, Isco, kembali menyarung jersi Sepanyol selepas enam tahun apabila disenaraikan jurulatih Luis de la Fuente untuk aksi separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah (Nations League) bulan depan.

Pemain berusia 33 tahun itu dipanggil selepas mempamerkan aksi cemerlang musim ini, membantu Betis mara ke final Liga Konferensi Eropah menentang Chelsea.

Sepanyol, yang juga juara Euro 2024, dijadual berdepan Perancis di Stuttgart pada 5 Jun dalam separuh akhir. Mereka berpeluang bertemu Jerman atau Portugal di final jika mara.

“Inilah masa terbaik untuk Isco kembali. Dia akan beri banyak sumbangan jika tidak, dia tidak akan dipanggil,” kata De la Fuente dalam sidang media.

Isco sebelum ini disisihkan sejak era penghujung kariernya di Real Madrid. Selepas berpindah ke Sevilla dan kemudian Real Betis, dia berjaya menghidupkan semula kariernya di bawah kendalian Manuel Pellegrini.

“Saya sangat gembira dapat kembali selepas sekian lama. Ia satu kebanggaan dan petanda bahawa saya berada di landasan betul,” kata Isco kepada media kelab Betis.

Turut tersenarai ialah pemain muda yang semakin menyerlah seperti Lamine Yamal, Pedri, Nico Williams dan Fermin Lopez, selain Dean Huijsen, pertahanan baharu Real Madrid yang tampil cemerlang ketika menewaskan kelab Belanda di suku akhir.

Bagaimanapun, pemain tengah Manchester City, Rodri, tidak tersenarai walaupun sudah kembali cergas.

“Rodri sangat penting, tapi dia baru bermain 10 minit selepas lapan bulan berehat. Ini bukan masa sesuai untuk ambil risiko,” ujar De la Fuente.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top