KETUA jurulatih perseorangan wanita yang baharu, Iskandar Zulkarnain Zainuddin memberi penekanan kepada aspek taktikal, konsistensi dan kualiti latihan dalam usaha menggilap semula prestasi pemain negara.
Bekas pemain perseorangan berusia 34 tahun itu yang memulakan tugas rasminya Isnin, mahu pendekatan baharu ditumpukan kepada intensiti, kelajuan serta penguasaan taktikal di gelanggang, di samping meningkatkan tahap motivasi dan kecergasan fizikal pemain.
“Dalam tempoh dua minggu pertama, saya akan menilai latihan sedia ada dan berbincang dengan (pengarah kejurulatihan perseorangan negara) Kenneth (Jonassen).
“Selepas itu, fokus kami adalah memperkukuh taktikal serta konsistensi pemain. Latihan akan lebih berat dan laju tetapi dilaksanakan dalam tempoh singkat dengan lebih banyak set dan pengulangan.
“Bagi saya, kualiti jauh lebih penting daripada kuantiti,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada Selasa.
Sebagai rekod, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik Iskandarpada 30 Jun lalu bagi memperkukuh semula struktur bahagian perseorangan.
Iskandar akan memberi tumpuan utama kepada pemain senior sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Thailand 2025 pada hujung tahun ini, di samping menilai sembilan pemain utama di bawah kendaliannya.
Sebagai relod, terdapat 17 pemain kini berada dalam seliaan beliau dengan sembilan daripada skuad senior dan lapan daripada skuad remaja.
Iskandar berpengalaman dua tahun membimbing skuad Ireland juga menyifatkan pendedahan antarabangsa itu akan dijadikan panduan untuk menyesuaikan corak latihan pemain tempatan agar lebih kompetitif di pentas dunia.
“Setakat ini belum ada sasaran khusus, namun untuk Sukan SEA, kami akan cuba pamerkan prestasi terbaik. Fokus jangka panjang adalah Piala Uber di Denmark,” katanya.
Sementara itu, Iskandar menyifatkan dorongan dan keyakinan diberikan Jonassen menjadi faktor utama membuatkannya kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Katanya, pelawaan Jonassen yang kerap berhubung dengannya memberi motivasi besar untuk pulang ke tanah air dan menyahut cabaran baharu dalam kerjaya kejurulatihan.
“Coach Kenneth sendiri hubungi saya dan sentiasa kemas kini perkembangan. Dari situ saya dapat rasakan kemahuan dia untuk saya sangat besar dan itu amat saya hargai.
“Pada masa sama, saya tahu perlukan cabaran baharu untuk meningkatkan diri sebagai jurulatih, sekali gus memberi manfaat kepada pemain,” katanya.
Ringkasan AI
- Iskandar Zulkarnain Zainuddin menekankan aspek taktikal, konsistensi dan kualiti latihan untuk pemain wanita
- Bekas pemain berusia 34 tahun ini memulakan tugas sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita dengan menumpukan pada intensiti dan kelajuan latihan
- Fokus latihan adalah untuk memperkukuh taktikal dan konsistensi dengan latihan yang berat dan laju tetapi dilaksanakan dalam tempoh singkat
- Iskandar akan memberi tumpuan utama kepada pemain senior untuk persiapan Sukan SEA Thailand 2025
- Pemilihan Iskandar dipengaruhi oleh dorongan dan keyakinan yang diberikan oleh pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen