sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih badminton perseorangan wanita negara, Iskandar Zulkarnian Zainuddin menyasarkan dua pemain negara, K Letshanaa dan Wong Ling Ching mampu menembusi kelompok 32 terbaik dunia dalam tempoh enam bulan akan datang.
Justeru, enam bulan pertama ini amat penting buat beliau dan barisan kejurulatihan bagi memastikan sasaran itu mampu dicapai kerana ia amat penting buat Letshanaa dan Ling Ching.
Katanya, sekiranya mereka mampu berada dalam kelompok 32 terbaik dunia, ia membuka peluang lebih besar buat anak didiknya menyertai pertandingan Super 500 ke atas sekali gus meningkatkan lagi persaingan bersama pemain elit dunia.
“Untuk enam bulan pertama ini, sasaran kita adalah kedua-dua pemain berada dalam kelompok 32 terbaik dunia. Selepas itu, barulah kita boleh atur jenis kejohanan yang sesuai untuk tempoh berikutnya.
“Kami akan memberikan sokongan sepenuhnya dan memastikan mereka mendapat yang terbaik untuk mencapai sasaran ini,” katanya.
Untuk makluman, ketika ini Letshanaa berada di kedudukan ke-42 dunia, sementara Ling Ching di tangga ke-43 dunia.
Kedua-dua pemain akan menyertai Masters Indonesia yang akan bermula Selasa depan.
Selain itu, Iskandar yakin dua anak didiknya itu mampu lolos ke kelompok yang ditetapkan kerana mereka mempunyai kemampuan yang sangat baik untuk menyerlah dalam pertandingan yang akan disertai selepas ini.
“Bagi Letshanaa, dia sudah mempunyai pengalaman beraksi di kejohanan Super 500 dan Super 750. Pengalaman itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya tahun ini, selain menetapkan sasaran sendiri termasuk beraksi secara konsisten di kejohanan Super 100.
“Ling Ching pula memiliki tahap keyakinan yang tinggi walaupun kariernya pernah melalui fasa naik turun. Sekarang ini, dia mula menunjukkan perkembangan positif dan bersedia melangkah lebih jauh.
“Dari segi latihan, tiada masalah, cuma saya tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan kepadanya kerana perjalanannya masih panjang dan masih ada beberapa aspek yang perlu diperkemaskan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






