Iskandar teruja terapkan sains sukan di BAM

Iskandar teruja terapkan sains sukan di BAM


BEKAS pemain kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin meluahkan rasa syukur atas peluang kembali menyumbang kepada negara, kali ini dalam kapasiti sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berkuat kuasa pada 1 Oktober depan.

Iskandar, 33, yang pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, kembali ke pangkuan BAM selepas menamatkan karier sebagai pemain dan membina reputasi cemerlang sebagai jurulatih di peringkat antarabangsa, khususnya di Ireland.

“Saya amat berterima kasih kepada BAM atas kepercayaan ini. Pengalaman di Ireland banyak mendidik saya mengenai pendekatan kejurulatihan berasaskan sains sukan dan pembangunan individu. Saya teruja untuk menerapkannya di sini,” kata Iskandar.

Beliau menambah bahawa potensi pemain perseorangan wanita negara amat besar, dan tumpuannya adalah untuk membantu mereka membina keyakinan, ketajaman taktikal serta kekuatan fizikal agar mampu bersaing lebih mantap di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Pengarah Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen menyuarakan keyakinan penuh terhadap kemampuan Iskandar untuk menerajui pembangunan skuad wanita negara yang kini berada dalam fasa peralihan penting.

“Kami amat berbesar hati menyambut kepulangan Iskandar ke BAM, kali ini sebagai ketua jurulatih. Pengalaman beliau di pentas antarabangsa, baik sebagai pemain mahupun jurulatih, memberikan kelebihan besar kepada kami,” ujar Jonassen.

Menurutnya lagi, skuad perseorangan wanita kini berada di landasan pembaharuan dan BAM percaya Iskandar mampu membimbing mereka bukan sahaja dari segi teknikal, malah dari aspek keyakinan diri dan daya tahan mental bagi memburu kejayaan konsisten di peringkat dunia.

Sepanjang kariernya sebagai pemain, Iskandar mencatat pelbagai pencapaian membanggakan termasuk meraih pingat perak dalam acara perseorangan lelaki dan berpasukan campuran di Kejohanan Remaja Dunia BWF 2009.

Beliau juga membantu Malaysia meraih gangsa dalam acara berpasukan di Sukan Asia 2014 dan muncul naib juara perseorangan lelaki Masters Malaysia 2016.

Selain itu, Iskandar merupakan anggota skuad negara yang memenangi gangsa di Piala Thomas 2016.

Selepas bersara sebagai pemain, Iskandar menyambung kerjaya sebagai jurulatih dan terakhir berkhidmat sebagai jurulatih utama perseorangan negara Ireland.

Di bawah bimbingannya, Ireland berjaya melakar sejarah apabila dua pemain perseorangan negara itu layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 – satu pencapaian yang dianggap sebagai titik tolak kemajuan badminton Ireland.



Source link

OR

Scroll to Top