Islam menyatakan hasratnya untuk menjadi juara berganda UFC selepas Della Maddalena merampas gelaran walterweight daripada Belal Muhammad di UFC 315.
PENYANDANG juara lightweight UFC, Islam Makhachev mencabar Jack Della Maddalena selepas petarung Australia itu dinobat juara baharu walterweight dalam acara UFC 315 yang berlangsung di Quebec, Kanada pada Ahad.
Della Maddalena merampas gelaran juara selepas menumpaskan petarung berdarah Palestin, Belal Muhammad menerusi keputusan sebulat suara juri.
Susulan itu, Islam yang belum tewas sejak memegang gelaran lightweight mempertimbangkan untuk berpindah divisyen bagi merealisasikan impiannya bergelar juara UFC berganda.
Menurut laporan bloodyelbow, walaupun langkah seterusnya belum diputuskan namun Islam telah menunjukkan minat untuk meraih gelaran juara berganda dengan menulis di X: “Masa untuk menjadi juara dua divisyen”.
Sementara itu, Della Maddalena yang ditemubual di dalam Oktagon oleh Daniel Cormier turut mengungkapkan hasratnya untuk bertemu Islam.
“Ini cabaran yang menarik. Dia ranking nombor satu pound-for-pound dan saya ingin membalas dendam untuk Alexander Volkanovski,” kata Della Maddalena yang kini memperbaharui rekodnya kepada 8-0 di pentas UFC.
Islam sebelum ini mengalahkan Volkanovski sebanyak dua kali iaitu pada pertemuan pertama (UFC 284) di Perth, Australia dan pertarungan ulangan (UFC 294) di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.
Hasrat Islam mencabar Della Maddalena di divisyen walterweight sekali gus menutup peluang peminat untuk melihat jarguh dari Dagestan itu menentang juara featherweight, Ilia Topuria.
Topuria sebelum ini sanggup melepaskan gelarannya dan berpindah ke lightweight semata-mata mahu merampas kejuaraan daripada Islam.