Ismail Haniyeh: Orang ikhlas Allah angkat darjatnya

Ismail Haniyeh: Orang ikhlas Allah angkat darjatnya


– Advertisement –

TANGGA BATU: As-Syahid Syeikh Ismail Haniyeh yang merupakan Ketua Biro Politik HAMAS telah diangkat darjatnya oleh Allah sebagai syuhada kerana keikhlasan perjuangannya.

– Advertisement –

Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, as-Syahid telah mengorbankan hidupnya dan segala yang beliau ada untuk Islam.

“Allah berkehendak untuk mengangkat orang-orang yang ikhlas, yang berjuang dengan ikhlas, mengangkat darjatnya setinggi-tingginya dan diberikan kepada beliau pangkat sebagai orang yang syahid fisabilillah.

“Beliau yang sangat mulia telah meninggalkan dunia ini dalam keadaan memberikan segala yang ada pada dirinya, anaknya, keluarganya, bahkan cucunya untuk perjuangan menentang Yahudi-Zionis dan melindungi Al-Quds,” ujar beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pada majlis ‘Solat Hajat dan Bacaan Qunut Nazilah’ Peringkat Negeri Melaka, sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin dan pemergian pemimpin mereka, Ismail Haniyeh.

Beliau turut menzahirkan kesyukuran kerana dapat menyempurnakan program tersebut yang diarahkan oleh PAS Pusat menggambarkan bahawa PAS adalah sebuah parti berlandaskan kepada sunnah Rasulullah SAW dan perintah-perintah Allah.

“Maka apabila saudara kita mengalami musibah yang begitu dahsyat di Palestin dan pimpinannya yang tertinggi, as-Syahid Ismail Haniyeh yang telahpun terbunuh syahid.

“Dengan suatu bentuk pembunuhan yang amat-amat keji, yang dirancang dan direncanakan selama berbulan bagi memastikan mereka berjaya untuk membunuh almarhum,” ujarnya.

Beliau berharap dengan munajat serta doa yang telah dibacakan akan menjadi asbab memperkuatkan perjuangan Islam terutamanya saudara-saudara seIslam di Palestin.

“Begitu juga menjadi semangat kepada kita untuk terus berjuang bagi menegakkan Islam di negeri kita yang tercinta ini, negeri Melaka negeri yang penuh berkat.

“Ambillah contoh ditunjukkan oleh pejuang-pejuang Islam yang bersih daripada segala kefasikan, daripada sifat-sifat kufur dan nifak.

“Golongan yang disebut di dalam Al-Quran daripada orang Mukmin itu ada kalangan lelaki-lelaki pendekar-pendekar yang membenarkan janji yang telah mereka berikan kepada Allah SWT,” katanya.

Jelas beliau, sebagai bukti kebenaran perjuangan mereka itu, maka ada dalam kalangan mereka itu telah gugur syahid, sementara mereka yang belum gugur pula menunggu-nunggu dengan meneruskan perjuangan bersungguh-sungguh.

“Sedikit pun mereka tidak menggantikan janji yang telah mereka berikan kepada Allah SWT dengan hal dan perkara yang lain,” ujarnya memetik ayat daripada surah al-Ahzab itu.

Beliau turut menggesa akan semua amilin PAS Negeri Melaka agar meneruskan perjuangan dengan bersungguh-sungguh agar dapat mengikut jejak langkah negeri Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah yang telahpun diperintah oleh Perikatan Nasional.

“Bahkan saya mempunyai keinginan dan juga keyakinan bahawa negeri yang kelima yang akan menjadi negeri yakni ditadbir berdasarkan cita-cita untuk melaksanakan perintah Allah.

“Bukan sahaja dalam aspek ibadah, bahkan dalam aspek pemerintahan ialah negeri Melaka, insya-Allah tahun depan insya-Allah,” kata beliau.

Program yang berlangsung di sekolah pondok milik beliau iaitu Baitul Qurro Wal Fuqaha, di Sungai Udang, di sini, malam tadi itu dihadiri oleh ahli-ahli PAS dari seluruh Negeri Melaka sebagai tanda solidariti.

Solat hajat telah diimamkan oleh Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Melaka, Ustaz Mohd Rizal Idris selepas solat Maghrib. – HARAKAHDAILY 4/8/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top