Ismail Haniyeh titip pesanan terakhir buat Anwar

Ismail Haniyeh titip pesanan terakhir buat Anwar


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan sebak dan mengesat air mata mendengar pesanan terakhir pemimpin Hamas Ismail Haniyeh supaya terus berjuang untuk rakyat Palestin.

Pesanan tersebut dititipkan Ismail kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ketika bertemu pada majlis angkat sumpah Presiden Iran yang baharu di Tehran beberapa jam sebelum beliau dibunuh.

“Saya pergi ke Iran untuk mewakili Malaysia dalam proram angkat sumpah Presiden Iran. Sampai di sana saya bertemu Speaker Iran dan Presiden Iran. Esoknya upacara diadakan dan Ismail Haniyeh duduk betul-betul di depan saya.

“Habis upacara angkat sumpah dia menoleh (kepada saya), tanya pasal Anwar, saya sampaikan salam Anwar kepada beliau.

“Saya cuba panjangkan perbicaraan mengenai keluarganya,(tetapi) dia kata tolong balik, beritahu Anwar teruskan perjuangan mulia beliau.

“Malam ini, saya sampaikan kepada Anwar bahawa Ismail Haniyeh meminta beliau terus memimpin dan berjuang untuk anak-anak di Palestin,” kata Johari sebak.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Himpunan Pembebasan Palestin di Arena Axiata yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Dalam perbualan tersebut, Johari berkata, Ismail tidak gentar berhadapan dengan maut walaupun ahli keluarganya termasuk tiga anak lelaki dan cucunya mati dibunuh oleh Israel.

“Dia pegang saya, dia kata kawanku, saudaraku beritahu mereka, semua manusia di atas muka bumi akan mati, keluarga saya telah pun pergi, yang membunuh juga akan pergi.

“Persoalan apabila kita dihidupkan kembali, bagaimana kita berhadapan dengan Tuhan nanti?” kata Johari.

Tambah Johari, tempat beliau menginap di Tehran berhampiran dengan rumah Ismail.

Dia hanya mengetahui kematian pejuang Palestin tersebut selepas melihat banyak pergerakan tentera di sekitar penginapannya.-MalaysiaGazette

 

 



Source link

OR

Scroll to Top